Apple seperti yang kita sedia maklum tidak mendedahkan spesifikasi peranti-perantinya secara terperinci dan peranti terkini syarikat berpangkalan di Cupertino ini, iPhone 7 dan iPhone 7 Plus turut tidak terkecuali. Bagaimanapun, maklumat berkenaan telah didedahkan melalui persijilan TENAA, sebuah badan persijilan peranti elektronik yang diwajibkan oleh kerajaan China.
Sesuai dengan saiznya kerangkanya yang lebih kecil dari iPhone 7 Plus, iPhone 7 memiliki kapasiti bateri sebesar 1,960 mAh. Sedikit peningkatan jika dibandingkan dengan iPhone 6 yang berkapasiti 1,715 mAh. Manakala iPhone 7 Plus pula, ia dilengkapi dengan bateri berkapasiti 2,900 mAh. Juga meningkat berbanding iPhone 6 Plus dahulu yang mempunyai 2,750 mAh.
Kapasiti bateri berkenaan tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan bateri peranti-peranti lain yang pernah digunakan pada telefon pintar flagship berasaskan Android.
Namun begitu, Apple memaklumkan bahawa iPhone 7 mampu bertahan dua jam lebih lama berbanding iPhone 6. Hal ini juga disebabkan oleh penggunaan cip pemprosesan A10 Fusion yang lebih cekap penggunaan tenaganya berbanding cipset A9 yang digunakan pada iPhone 6.
-Sumber berita diperoleh dari GSM Arena