Telefon pintar yang ada pada hari ini pada kebiasaannya menggunakan bateri yang berasaskan lithium-ion. Sebelum ini pada tahun 2017, Samsung telah memulakan pengujian bateri berasaskan bebola graphene bagi meningkatkan jangka hayat dan juga kepantasan mengecas bagi sesebuah bateri.
Terbaru, teknologi berkenaan dikatakan bakal digunakan pada telefon pintar seawal tahun hadapan menurut pentiris maklumat popular di Twitter, Evan Blass.
Menurut Evan Blass, Samsung mensasarkan sekurang-kurangnya sebuah model telefon pintar keluarannya dapat menggunakan teknologi berkenaan pada tahun 2020 atau 2021. Tambah beliau lagi, teknologi bateri terbaru ini mampu dicaskan sehingga penuh dalam tempoh kurang dari 30 minit. Bagaimanapun, buat masa ini syarikat gergasi teknologi dari Korea Selatan ini sedang berhadapan dengan isu kapasiti rendah dan kos pembuatan yang tinggi pada teknologi bateri tersebut.
Berdasarkan laporan terdahulu, Samsung merancang untuk menggunakan bebola graphene dengan tujuan meningkatkan kapasiti bateri sehingga 45% disamping mengurangkan waktu mengecasnya sehingga lima kali lebih singkat. Penggunaan bebola graphene di dalam sesebuah bateri turut dikatakan mempunyai kadar ketahanan yang lebih lama.
Sehingga itu, kita nantikan pengumuman rasmi dari pihak Samsung berhubung perkembangan teknologi terkini dalam pembuatan bateri ini.
Sumber berita diperoleh dari CNET