Kesatuan Eropah (EU) telah menetapkan peraturan baharu di bawah Peraturan Reka Bentuk Ekologi (Ecodesign Regulation). Peraturan ini mewajibkan semua pengeluar telefon pintar dan tablet untuk menawarkan peranti dengan bateri yang boleh ditanggal oleh pengguna bermula tahun 2027.
Langkah ini diluluskan bagi pasaran Eropah. Ia bertujuan memanjangkan jangka hayat peranti, dan mengurangkan sisa elektronik. Pengguna juga dapat berjimat daripada perlu membeli peranti yang baharu semata-mata kerana bateri yang rosak.
Tindakan baharu EU ini akan memberikan impak besar kepada landskap pembuatan peranti mudah alih global. Sebelum ini EU berjaya memaksa pengeluar seperti Apple untuk menggunakan port pengecasan jenis USB-C.
Arahan wajib ini bermakna reka bentuk peranti unibody (badan tertutup penuh) yang memerlukan alat pembaikan khusus tidak lagi dibenarkan.
Pengguna kelak akan dapat mengeluarkan dan menukar bateri peranti mereka dengan mudah tanpa sebarang pengetahuan teknikal.
Menurut wakil Majlis Kesatuan Eropah, peraturan ini disahkan dengan matlamat untuk meminimumkan sisa elektronik. Ia juga menghalang amalan syarikat gergasi teknologi yang sering merumitkan proses penggantian komponen peranti mereka.
Melalui peraturan baharu ini, bateri peranti elektronik mesti direka bentuk supaya mudah dikeluarkan dan diganti oleh pengguna sendiri di rumah.
Bateri juga diwajibkan mempunyai ketahanan lebih tinggi bagi menyokong lebih banyak kitaran pengecasan tanpa mengalami kehilangan kapasiti yang pantas.
Label dengan panduan dan arahan yang jelas mengenai prosedur penukarannya juga wajib disediakan.
Pengeluar perlu memberikan jaminan kemas kini sistem operasi (OS) untuk suatu tempoh minimum walaupun model peranti tersebut telah dihentikan pengeluarannya.
Walaupun undang-undang ini dikuatkuasakan secara khusus untuk negara-negara anggota Kesatuan Eropah, impak positifnya pasti akan dirasai oleh pengguna di seluruh dunia.
Sama seperti pelaksanaan polisi USB-C, pengeluar peranti dijangka tidak akan menghasilkan reka bentuk yang berbeza-beza mengikut rantau pasaran. Perkembangan ini sekali gus menjadikan ciri bateri boleh tanggal sebagai standard telefon pintar antarabangsa yang baharu menjelang 2027.










