Pengeluar telefon pintar giat menyertakan bateri berkapasiti besar ke dalam peranti masing-masing saban tahun. Realme merupakan salah satu pengeluar yang merancang untuk memperkenalkan telefon pintar pertamanya yang dilengkapkan dengan bateri 6,000mAh bagi menyaingi Samsung Galaxy M31.
Pengarah Pemasaran Realme Indonesia, Encik Palson Yi dalam satu hantarannya menerusi Instagram telah mengacah berkenaan telefon pintar baharu Realme. Hantaran berkenaan tidak menyatakan secara terperinci berkenaan telefon pintar terbaru tersebut. Ianya sekadar memberikan maklumat mengenai kapasiti bateri padanya.
Menariknya, beberapa sumber menyatakan telefon pintar Realme dengan bateri berkapasiti 6,000mAh telah menerima persijilan TUV Rhineland pada Mei lalu.
Peranti yang disenaraikan sebagai BLP793 pada persijilan berkenaan bagaimanapun sekadar mendedahkan maklumat mengenai baterinya sahaja. Kebanyakan pihak menjangkakan telefon pintar berkenaan mungkin dikuasakan oleh cipset MediaTek Helio bagi mengekalkan harga kompetitifnya.
Encik Palson Yi bagaimanapun tidak menyatakan tarikh jangkaan telefon pintar tersebut dilancarkan. Berdasarkan perkembangan semasa, mungkin pengumumannya bakal hadir dalam tempoh beberapa minggu dari sekarang.