Apple telah mengumumkan iOS 16 dan iPadOS 16 ketika acara WWDC 2022 tidak lama dahulu. Biasanya kedua-dua sistem operasi bagi iPhone dan iPad ini akan dilancarkan secara serentak atau paling tidak pun cuma lewat sedikit.
Bagaimanapun, untuk versi kali ini perisian untuk tablet keluaran Apple ini diperkenalkan lewat sebulan dari perisian terkininya untuk iPhone.
Bloomberg melaporkan sungguhpun Apple berhasrat menerbitkan iOS 16 pada September seperti kebiasaannya, iPadOS 16 pula terpaksa menunggu sehingga Oktober ini. Kelewatan ini berpunca sebahagiannya disebabkan oleh masa yang diperlukan untuk memperkemaskan keupayaan berbilang tugasan pada iPad terutamanya pada ciri Stage Manager.
Ia merupakan tumpuan utama sistem operasi tablet baharu berkenaan bersama-sama macOS Ventura ketika diperkenalkan beberapa bulan yang lalu.
Keputusan untuk melewatkan pelancarannya ini mungkin tidak mengejutkan bagi anda yang mengikuti rapat perkembangan iPadOS 16 beta. Para penguji melaporkan terdapat pelbagai ralat dan antaramuka yang mengelirukan pada antaramuka di dalam ciri Stage Manager, selain isu ketidaksesuaian pada kebanyakan iPad.
Selain itu Apple turut memaklumkan ciri ini hanya terdapat pada iPad yang menggunakan cip M1 yang buat masa ini terhad pada model iPad Pro dan iPad Air terkini. Bagaimanapun, laporan dari 9to5Mac pula kelihatan agak bercanggah kerana iPad Air 5 model asas dengan storan 64GB juga tidak menyokong Stage Manager sungguhpun menggunakan cip M1.
Laporan berkenaan juga menyebut kemaskini awal iOS 16 dan iPadOS 16 juga tidak akan memperkenalkan keseluruhan ciri yang pernah diumumkan ketika WWDC lalu. Ia akan diperkenalkan secara berperingkat mengikut versi kemaskininya mengikut keperluan semasa.
Cuma yang peliknya, kenapa Apple tak perkenalkan je Stage Manager tu kemudian lepas iPadOS 16 dilancarkan secara rasmi?