Utama Komputer Intel secara rasminya umumkan pemproses Core vPro Generasi Keenam

Intel secara rasminya umumkan pemproses Core vPro Generasi Keenam

724
0

Intel telah mengumumkan pemproses Core vPro generasi keenam yang terbaru. Beberapa bulan sebelum ini, Skylake hadir untuk pasaran pengguna biasa dan kini Intel telah melancarkan pemprosesan terbarunya yang mensasarkan kepada pengguna enterprise.

Secara keseluruhannya, cip Core vPro ini berfungsi sama dengan Core versi pengguna biasa, bezanya ada beberapa penambahan ciri yang dikhususkan untuk pengguna enterprise.

Pemproses Intel Core vPro terbaru ini akan memperkenalkan Intel Authenticate, sejenis sistem pengesahan pelbagai-faktor peringkat perkakasan (hardware level multi-factor authentication system). Intel Authenticate direka khusus untuk mempertingkatkan ciri keselamatan dengan menyediakan tiga lapisan peringkat verifikasi pengguna. Faktor tapisan keselamatan ini turut merangkumi ciri-ciri pengesahan pengguna seperti nombor kad pengenalan, pengesahan melalui telefon bimbit sehinggalah kepada pengesahan secara biometrik.

Selain dari tambahan ciri keselamatan, pemproses terbaru ini turut dilengkapi dengan Intel Unite, cara penyambungan rangkaian tanpa wayar dan komunikasi di tempat kerja oleh Intel. Secara asasnya, ini membenarkan komputer disambungkan ke peranti-peranti lain di tempat kerja seperti projektor tanpa memerlukan sebarang kabel penyambungan.

Intel Unite telah pun hadir sejak dari pertengahan tahun lalu dan Intel telah memperluaskan kemampuannya dengan sokongan untuk OS X dan juga fungsi nyahsambung secara automatik.

Notebook kelas enterprise yang menampilkan Intel Core vPro Generasi Keenam dijangkakan bakal hadir ke pasaran dalam masa yang terdekat ini. Pada masa yang sama, Intel memaklumkan bahawa pemprosesan terbaru ini masih lagi menyokong sistem-sistem operasi Windows yang terdahulu seperti Windows 7 dan Windows 8.

-Sumber berita diperoleh dari Forbes

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.