Kerajaan Amerika Syarikat (A.S.) dikatakan sedang meminta gergasi-gergasi teknologi seperti NVIDIA dan Apple memanfaatkan faundri dan juga menggunakan bekalan cip pemprosesan Intel. Permintaan tersebut dibuat oleh Gina Raimondo, Setiausaha Jabatan Perdagangan AS.
Maklumat lanjut berkenaan permintaan oleh kerajaan tersebut masih lagi tidak jelas memandangkan perbincangan bersama dengan pemain-pemain utama industri dibuat secara tertutup. Bagaimanapun, sebab mengapa tindakan ini dibuat secara umumnya dapat dilihat.
Sebab utama yang amat jelas adalah AS mengharapkan pemegang taruh industri-industri teknologi utama supaya menjaga antara satu sama lain. Intel, NVIDIA dan Apple merupakan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat dan atas sebab itu kerajaan AS mengharapkan kerjasama yang lebih erat di antara kesemua pihak.
Ia juga penting bagi kerajaan AS mengurangkan kebergantungannya dengan teknologi bagi pengeluaran mikrocip. Buat masa ini pembuat semikonduktor dari Taiwan, TSMC mampu menghasilkan pemprosesan yang termaju dengan turut menghasilkan pemprosesan untuk Qualcomm dan AMD.