Isu sekatan perdagangan dengan U.S. nampaknya tidak menghalang Huawei untuk memperkenalkan produk terbarunya. Baru-baru ini syarikat elektronik dari China ini telah memperkenalkan telefon boleh lipat terbarunya, Mate X2.

Berbeza dengan Mate X 2019 dan Mate Xs, Mate X2 menggunakan rekaan lipatan ke dalam. Rekaan yang sama ini turut digunakan oleh Samsung pada peranti Galaxy Fold dua tahun lalu.

Menggunakan pemprosean 5nm Huawei Kirin 9000, Mate X2 menampilkan paparan 6.45-inci Full HD+ OLED yang turut menempatkan kamera swafoto 16MP. Di dalam lipatannya, telefon pintar ini menyediakan paparan OLED 8-inci dengan resolusi natif 2480 x 2200.

Sungguhpun kedua-dua paparan menyediakan kadar penyegaran semula 90Hz, kadar pensampelan sentuhan paparan-paparan ini adalah berbeza. Paparan luar mempunyai kadar pensampelan sentuhan lebih tinggi iaitu 240Hz, manakala untuk paparan dalamannya pula pada 180Hz.

Kamera belakang Mate X2 yang direka bentuk bersama dengan Leica menawarkan kamera utama 50MP f/1.9. Bersama-samanya juga sebuah kamera ultra lebar f/2.2, dan kamera telefoto 12MP f/2.4 dengan 3x zum optikal. Tidak ketinggalan sebuah lagi kamera SuperZoom 8MP yang menawarkan zum optikal 10x dan 100x zum digital.

Apa yang menarik dengan rekaan telefon boleh lipat ini adalah kamera belakangnya boleh disesuaikan sebagai kamera swafoto. Melengkapkan spesifikasinya, sebuah bateri berkapasiti 4,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas Huawei SuperCharge 55W turut disediakan.

Huawei Mate X2 bakal dilancarkan di pasaran China akhir bulan ini dengan harga RMB 17999 (~RM 11,253) untuk variasi 256GB. Manakala untuk variasi 512GB pula, harganya adalah RMB 18999 (RM 11,878). Setakat ini tiada khabar berita mengenai kemasukannya ke pasaran Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.