Utama Android Honor HONOR V Purse dilancarkan secara rasminya, Telefon pintar boleh lipat skrin besar...

HONOR V Purse dilancarkan secara rasminya, Telefon pintar boleh lipat skrin besar berharga ~RM3,853 di China

355
0

HONOR telah melancarkan telefon pintar boleh lipat, HONOR V Purse di pasaran China pada harga bermula dari CNY6,000 (~RM3,853) melalui promosi pra-jualan terhadnya. Sebelum ini telefon pintar ini pernah didedahkan sebagai prototaip di dalam acara IFA 2023 di Berlin baru-baru ini.

Menerusi pelancarannya secara rasmi ini, spesifikasi lengkap HONOR V Purse turut diumumkan bersama-sama. Ia menggunakan pemprosesan Snapdragon 778G bersama-sama RAM 16GB dan pilihan storan dalaman sama ada 256GB atau 512GB.

Apabila dilipat, telefon pintar ini hanya berukuran 156.5 x 74.7 x 8.6mm, sedikit tinggi dan lebar berbanding Samsung Galaxy Z Fold 5. Namun, ia 40 gram lebih ringan berbanding telefon pintar boleh lipat keluaran Samsung berkenaan pada 214 gram.

Memandangkan telefon pintar boleh lipat ini rekaan skrinnya dibuka ke arah luar, HONOR V Purse hanya mempunyai satu skrin sahaja. Untuk panelnya, ia menggunakan skrin OLED beresolusi 2,348 x 2,016 piksel dengan nisbah aspek 10.5:9. Skrin ini menjadi paparan berukuran 6.45-inci beresolusi 2,348 x 1,088 piksel dan bernisbah aspek 19.4:9 apabila dilipat. Panel ini juga merupakan panel 10-bit dengan warna DCI-P3 dengan tahap kecerahan puncak 1,600 nits dan kadar penyegaran semula 90Hz.

Pengimejannya pula menawarkan kamera utama 50MP f/1.9 bersama-sama kamera ultra-lebar 12MP. Untuk swafotonya pula, kamera 8MP disediakan pada permukaan bersebelahan dengan sistem dwi-kamera berkenaan. Kelebihan bentuk skrin boleh lipat seperti ini membolehkan anda menggunakan kamera utamanya juga untuk swafoto atau panggilan video.

Kapasiti bateri HONOR V Purse juga sedkit besar berbanding Galaxy Z Fold 5 pada 4,500mAh walaupun ia lebih nipis. Pun begitu, tiada sokongan pengecasan pantas disediakan untuk telefon pintar ini. Hanya sekadar pengecasan 35W disediakan untuknya.

Jika anda pernah membaca artikel sebelum ini ketika dipertontonkan di acara IFA 2023 baru-baru ini, telefon pintar ini boleh disangkutkan dengan rantai untuk digayakan seperti tas tangan. Cuma anda tidak boleh meletakkan wang tunai di dalam telefon pintar boleh lipat ini.

Harga HONOR V Purse

Promosi pra-tempahan terhad HONOR V Purse sedang diadakan di pasaran China dengan harga jualannya seperti berikut:

  • HONOR V Purse; RAM 16GB, storan 256GB – CNY 6,000 (~RM 3,853) 
  • HONOR V Purse; RAM 16GB, storan 512GB – CNY 6,600 (~RM 4,238)

Boleh didapati dengan pilihan warna Gold, Blue, dan Black, telefon pintar ini mula menemui pengguna di China pada 26 September 2023. Tiada sebarang maklumat sama ada ia akan menemui pengguna global termasuk Malaysia kelak setakat ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.