Utama Android Samsung Ulasan Samsung Galaxy Z Fold 5; Telefon-tablet boleh lipat paling padu 2023

Ulasan Samsung Galaxy Z Fold 5; Telefon-tablet boleh lipat paling padu 2023

491
0
Samsung Galaxy Z Fold 5 Half

Telefon-tablet pintar boleh lipat Samsung yang terkini menetapkan piawaian baharu untuk peranti berteknologi tinggi. Namun, ia hadir bersama-sama harga yang amat tinggi.

Galaxy Z Fold 5 merupakan pembaharuan terkini dari Samsung dalam mendepani saingan dari pengeluar telefon pintar Android lain pada tahun ini yang kian sengit. Berharga dari RM6,799 untuk storan 256GB dan RAM 12GB, telefon-tablet pintar boleh lipat ini tidak banyak beza dengan Galaxy Z Fold 4 ketika dilancarkan pada tahun lepas.

Sesuai dengan harganya yang tinggi, telefon pintar ini dipasarkan sebagai bukan sekadar sebuah telefon pintar andalan. Malah lebih daripada itu. Galaxy Fold 5 dikatakan boleh menjadi seperti komputer peribadi, tablet dan juga telefon yang korang boleh lipat masuk ke dalam poket.

Pendek kata ia merupakan telefon pintar Android paling serba boleh, sesuai untuk anda yang ‘overwork’ atau bekerja lebih dari satu kerja.

Kelebihan dan Kekurangan Galaxy Z Fold 5

Teknologi skrin boleh lipat untuk kegunaan peranti mudah alih seperti telefon pintar boleh dikirakan sebagai agak baru. Tentunya ia mempunyai kekangan yang tersendiri selain daripada faktor harganya di pasaran yang tinggi bagi sesebuah peranti mudah alih.

Kelebihan Galaxy Z Fold 5

Kekurangan Galaxy Z Fold 5

  • Flex Screen yang lebih besar dan ditambah baik
  • Binaan berkualiti yang kukuh dan lipatan yang lebih rapat
  • Ciri 2-dalam-1 (tablet dan telefon)
  • Sokongan fungsi berbilang tugas yang bagus
  • Pemprosesan yang berkuasa (Snapdragon 8 Gen 2)
  • Jaminan sokongan kemaskini empat tahun
  • Kamera berspesifikasi andalan
  • Tiada sokongan DEX
  • Kapasiti penggunaan bateri dan pengecasan yang sederhana
  • Tiada perlindungan debu
  • kos pembaikan yang lebih tinggi dari telefon pintar konvensional

Spesifikasi Galaxy Z Fold 5

  • Skrin: Paparan utama OLED 7.6-inci 2176 x 1812 piksel 120Hz, paparan luaran OLED 6.2-inci 2316 x 904 piksel 120Hz
  • Pemprosesan: Snapdragon 8 Gen 2
  • RAM: 12GB
  • Storan: 256/512GB/1TB
  • Kamera:
    • Kamera utama: 50 MP f/1.8 sudut lebar (85˚ FoV, OIS, 1.0μm piksel)
    • Kamera ultra-lebar: 12MP f/2.2 ultra-lebar (123˚ FoV, 1.12μm piksel)
    • Kamera berkedalaman: 10MP f/2.4 telefoto (36˚ FoV, OIS, 1.0μm piksel)
    • Kamera hadapan: 4MP f/1.8 kamera bawah paparan (80˚ FoV, 2.0μm piksel), 10MP f/2.2 kamera bawah paparan untuk skrin hadapan (85˚ FoV, 1.22μm piksel)
  • Bateri: 4,400mAh
  • Pengecasan: berwayar 25W Super Fast Charging, nirwayar 15W (Qi)
  • Sistem operasi: Android 13 melalui antaramuka One UI 5.1.1

Rekaan dan Paparan

Samsung Galaxy Z Fold 5 kelihatan sama seperti model keluarannya pada tahun lepas. Namun mempunyai beberapa perbezaannya yang tersendiri dan keunikannya.

Paling ketara adalah pada engel baharunya yang dikenali sebagai Flex Hinge yang membolehkan Z Fold 5 boleh dilipat dengan lebih rapat. Ini penting kerana dapat mengurangan habuk-habuk masuk ke bahagian celah-celahnya apabila dilipat.

Satu lagi kelebihan Galaxy Z Fold 5 pada rekaannya adalah lebih keselesaan apabila dipegang. Ia juga lebih ringan dan lebih nipis dengan beratnya 253g dan juga berketebalan 0.53-inci.

Cuma kesan lipatan apabila dibuka pada bahagian tengah-tengahnya masih lagi jelas kelihatan seperti model terdahulu.

Pada bahagian belakangnya, Samsung telah mengalihkan kedudukan lampu flash LED ke luar dari bonggol kamera-kameranya. Kameranya juga lebih membonjol dengan gelang-gelang berwarna perak yang menaikkan lagi seri reka bentuknya.

Galaxy Z Fold 5 ditawarkan dengan tiga warna pilihan baharu; Ice Blue (baharu), Black dan Cream, serta pilihan warna eksklusif dalam talian Blue dan Gray.

Saiz paparan-paparan Galaxy Z Fold 5 masih lagi sama seperti model sebelumnya dengan paparan luarannya AMOLED berukuran 6.2-inci menawarkan kadar penyegaran semula 48-120Hz dan beresolusi 2,314×904 piksel. Paparan luarannya ini juga dikirakan sebagai tinggi kerana bernisbah 23.1:9. Faktor bentuknya sebegitu kerana memberikan tumpuan pada skrin boleh lipat pada sebelah dalamnya.

Paparan dalaman QXGA+ telefon pintar ini berukuran 7.6-inci apabila dibuka lipatannya. Ia kini 30% lebih cerah dengan kecerahan puncaknya mencapai 1,750 nits. Seperti keluaran yang terdahulu, Galaxy Z Fold 5 turut menawarkan sokongan S Pen Fold Edition yang dijual secara berasingan. Menurut Samsung, penggunaan lapisan penyebar hentakan dan rekaan semula pada skrin utama mampu meningkatkan ketahanannya.

Samsung juga menawarkan penggantian percuma untuk pelindung skrin dalaman untuk Galaxy Fold 5. Tawaran diskaun juga diberikan untuk pembaikan kerosakan skrin yang tidak disengajakan.

Seperti keluaran yang terdahulu, Galaxy Z Fold 5 turut menawarkan sokongan S Pen Fold Edition yang dijual secara berasingan. Ia tidak menyediakan slot menempatkan pena berkenaan seperti Galaxy S23 Ultra. Atas sebab itu, anda perlu membeli aksesori pelapik khas yang didatangkan bersama-sama S Pen Fold Edition.

Prestasi

Galaxy Z Fold 5 merupakan naik taraf dari Galaxy Z Fold 4 dan ia ketara dari segi perubahan dalamannya. Selain bertukar kepada pemprosesan dan piawaian storan yang lebih terkini dan pantas, Galaxy Z Fold 5 masih lagi menawarkan perkakasan yang sama seperti versi keluarannya pada 2022.

Untuk tahun ini, Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy digunakan, jenis yang sama digunakan pada siri Galaxy S23. Usahasama antara Samsung dengan Qualcomm ini menjadikan pemprosesan ini unik kerana teras utama Cortex-X3 di dalamnya dipacu sedikit tinggi pada 3.36GHz.

Kaedah penyejukan telefon pintar ini juga dipertingkatkan lagi bagi membolehkan tempoh penggunaan yang berat seperti permainan video dapat ditampung dengan lebih baik tanpa menjana haba yang tinggi.

Galaxy Z Fold 5 menggunakan storan UFS 4.0 yang lebih pantas dengan pilihan kapasiti 256GB, 512GB dan 1TB.

Selain pantas, pemprosesan Snapdragon 8 Gen 2 yang baharu ini juga lebih berkecekapan. Ia mampu meningkatkan tempoh penggunaan baterinya sungguhpun kapasitinya masih lagi kekal 4,400mAh seperti sebelumnya serta sokongan pengecasan berwayar 25W. Pada kadar tersebut, telefon pintar ini boleh dicaskan dari sifar hingga 50% dalam tempoh 30 minit. Begitu juga dengan sokongan pengecasan nirwayar pada 15W, masih lagi sama seperti generasi sebelumnya.

Untuk ketersambungannya pula Z Fold 5 menyokong standard Bluetooth 5.3 dan 5G baharu. Lain-lain yang berkenaan masih lagi sama seperti WiFi 6E, dwi-SIM dengan satu eSIM, USB Type-C 3.2 dan NFC. Sokongan untuk sambungan satelit bagaimanapun tidak disediakan.

Perisian

Samsung pada kebiasaannya akan memperkenalkan One UI baharu apabila melancarkan peranti Galaxy andalan baharunya. Jika One UI 5.1 diperkenalkan ketika pelancaran Galaxy S23, One UI 5.1.1 pula diperkenalkan bersama-sama Galaxy Z Fold 5. Antaramuka yang berasaskan Android 13 ini menawarkan pelbagai penambahbaikan spesifik untuk peranti boleh lipat.

Antara yang dibawakannya termasuklah gestur dua tangan heret dan letak bagi menggerakkan kandungan antara aplikasi dengan lebih mudah.

Samsung Galaxy Z Fold 5 Half KeyboardSelain itu, turut diperkenalkan keupayaan mengubah aplikasi yang dipaculkan ke dalam skrin terbahagi dengan mudah, serta pratonton aplikasi yang dipertingkatkan di dalam paparan aplikasi baru digunakan (recent apps). Taskbar juga dipertingkatkan bagi menunjukkan sehingga empat buah aplikasi yang baharu digunakan.

Sama seperti kebanyakan Samsung Galaxy yang terkini, Galaxy Z Fold 5 juga akan menerima kemaskini Android selama empat tahun dan lima tahun kemaskini keselamatan. Ini bermakna, Galaxy Z Fold 5 boleh mendapat kemaskini Android 17 dan kemaskini keselamatan sehingga Julai 2028.

Kamera

Kalau anda mengharapkan Z Fold 5 menampilkan sensor kamera baharu atau naik taraf besar pengimejan, anda mungkin perlu bersedia untuk dikecewakan. Samsung menggunakan tetapan kamera yang sama pada Galaxy Z Fold 5 seperti Galaxy Z Fold 4.

Ia terdiri daripada satu kamera utama 50MP f/1.8 dengan OIS< satu kamera ultra-lebar 12MP f/2,2, dan satu kamera telefoto 10MP f/2.4 3X zum. Manakala kamera 4MP di bawah paparan pada skrin utamanya dan kamera pada skrin luarannya 10MP f/2.2 masih lagi sama.

Disebabkan bentuk unik boleh lipatnya, anda boleh mengambil swafoto melalui kamera utamanya sambil menjadikan paparan luarannya untuk pra-tonton. Ciri yang sama ini juga terdapat pada Galaxy Z Fold 4 dan juga Galaxy Z Flip 5. Bezanya dengan Z Flip 5 adalah saiz skrin luarannya yang lebih besar.

Ciri fotografi dan videografinya pula menawarkan rakaman 4K pada 60fps dan 8K, zum optikal 3X dengan zum digital 30X, pengesanan objek secara AI, dan sokongan mengambil foto beresolusi tinggi 50MP. ISP yang lebih pantas pada Snapdragon 8 Gen 2 juga membantu tangkapan foto yang lebih berkualiti dalam sejumlah suasana termasuk dalam keadaan kurang pencahayaan.

Contoh foto-foto yang diambil menggunakan Galaxy Z Fold 5

Kesimpulan

Generasi kelima telefon pintar boleh lipat Samsung ini didapati lebih ringan, nipis dan lebih baik kualiti binaannya berbanding generasi sebelumnya. Ia menunjukkan kematangan dari segi pembangunan untuk siri ini dan berpotensi untuk berkembang dengan lebih pesat di masa akan datang.

Harga Galaxy Z Fold 5 di Malaysia

Galaxy Z Fold5 Gaming2Samsung Galaxy Z Fold 5 hadir dengan pilihan warna Icy Blue, Phantom Black dan Cream. Untuk anda yang inginkan kelainan, anda boleh membuat pesanan secara dalam talian untuk mendapatkan warna Gray dan Blue.

Harganya pula di pasaran Malaysia adalah seperti berikut:

  • Samsung Galaxy Z Fold 5, 12GB RAM, 256GB storage – RM6,799
  • Samsung Galaxy Z Fold 5, 12GB RAM, 512GB storage – RM7,299
  • Samsung Galaxy Z Fold 5, 12GB RAM, 1TB storage – RM8,299

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.