HONOR baharu sahaja memperkenalkan Magic V2 pada Julai lalu dan kini bersedia untuk memperkenalkan sebuah lagi telefon pintar boleh lipat baharu. HONOR Magic Vs2 akan diumumkan secara rasminya pada 12 Oktober 2023 bersama-sama jam tangan pintar HONOR Watch 4 Pro.
Acara yang akan dijadualkan berlangsung pada Khamis ini diadakan selepas pengumuman HONOR Play 50 Plus di pasaran China esok, 10 Oktober 2023.
Dijangkakan HONOR membawakan beberapa perubahan Magic Vs2 berbanding Magic Vs yang diperkenalkan pada tahun lepas. Menerusi penanda aras terbaru di Geekbench, telefon pintar ini ditunjukkan menggunakan pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1 dan RAM 16GB. HONOR Magic Vs2 juga akan mempunyai kamera utama 50MP dan tidak pasti sama ada HONOR akan mengekalkan kamera ultra-lebar 50MP dan kamera telefoto 8MP seperti sebelum ini.
Kelebihan Magic Vs2 pastinya pada badan telefon pintar boleh lipat berkenaan yang dijangka akan lebih nipis berbanding Vs yang berketebalan 6.1mm apabila dibuka lipatannya. Telefon pintar berkenaan juga juga menyokong pengecasan berwayar 66W, sama seperti peranti HONOR Magic V yang lain.