Julai lalu Kementerian Komunikasi dan Digital telah mengumukan kira-kira 64.7% kawasan berpenduduk di Malaysia telah menerima liputan rangkaian 5G. Peratusan tersebut telah meningkat dalam tempoh beberapa minggu berikutnya.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, dianggarkan 70.2% kawasan berpenduduk di Malaysia kini menerima liputan 5G. Berdasarkan perkembangan semasa, dijangkakan sekitar 80% kawasan berpenduduk akan menerima liputan menjelang akhir 2023.
Bagaimanapun, liputan yang meluas tersebut tidak dapat diterjemahkan kepada lebih ramai pengguna rangkaian 5G. Menteri berkenaan menyatakan kadar penggunaan rangkaian 5G buat masa ini berada pada 7.4% dari jumlah populasi Malaysia, bersamaan 2.49 juta orang sehingga hujung Ogos 2023.
Terdapat dua sebab kadar penggunaan 5G yang rendah ini. Menurut Fahmi, salah satu daripadanya adalah harga peranti berkeupayaan 5G yang terlalu tinggi berbanding kuasa membeli purata rakyat Malaysia.
Pada hemat saya, kos perkhidmatan rangkaian 5G juga turut memberikan kesan terhadap keadaan tersebut. Misalnya sesetengah perkhidmatan 5G, terutamanya pelan pascabayar memerlukan bayaran tambahan dari kadar langganan sedia ada.
Tambahan pula rangkaian 4G sedia ada sudah cukup laju bagi kegunaan kebanyakan rakyat Malaysia. Justeru, galakan seperti pengurangan harga langganan dan juga promosi kelebihan menggunakan rangkaian 5G perlu diperhebatkan lagi bagi meningkatkan kadar penggunaan rangkaian mudah alih generasi baharu tersebut.