Tesla telah mengumumkan pelarasan harga kenderaan elektrik Model 3 dan Model Y di Malaysia dengan menyaksikan penurunan sehingga RM8,000. Penurunan harga model kenderaan tersebut juga seiring dengan perubahan yang dilaksanakannya di pasaran-pasaran utama dunia lain seperti Amerika Syarikat, China dan Jerman.
Berkuatkuasa serta merta, harga yang Tesla Model 3 yang terkini di Malaysia adalah RM181,000 untuk model Rear-Wheel Drive (RWD) dan RM210,000 untuk model Long Range (LR) All-Wheel Drive (AWD). Bayaran tambahan RM1,700 masih lagi dikenakan untuk penghantaran, kos pentadbiran, nombor plat, bayaran tambahan dan pendaftaran kenderaan.
Dalam pada masa yang sama, harga baharu Tesla Model Y di Malaysia kini bermula dari RM191,000 untul model RWD, RM238,000 untuk model LR AWD dan RM280,000 untuk model Performance AWD. Sama seperti Model 3, bayaran tambahan RM1,700 untuk kos-kos sampingan turut dikenakan.
Untuk Tesla Model 3 Performance yang baharu sahaja diperkenalkan di Malaysia, harganya masih lagi kekal pada RM242,000. Tesla juga mengekalkan harga untuk penambahan-penambahan lain bagi model-model kenderana berkenaan seperti pilihan warna lain, tayar, dan sokongan keupayaan Advanced Driver Assistance System (ADAS).
Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kenyataan media rasminya, penurunan harga Tesla Model 3 dan Tesla Model Y di pasaran Malaysia ini menunjukkan komitmen syarikat dalam memacu peralihan ke arah kelestarian tenaga dan mempopularkan penggunaan kenderaan elektrik.
Buat masa ini, kenderaan-kenderaan elektrik di Malaysia layak menerima pelbagai insentif seperti pengecualian duti import dan eksais, pengecualian cukai jalan 100%, dan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 bagi perbelanjaan melibatkan fasiliti pengecasan kenderaan elektrik.