Utama Automotif Tempahan Tesla Model 3 kini dibuka di Malaysia; Harga bermula dari RM189,000

Tempahan Tesla Model 3 kini dibuka di Malaysia; Harga bermula dari RM189,000

418
0

Tesla mengumumkan tempahan kenderaan elektrik jenis sedan Model 3 kini telah dibuka di pasaran Malaysia. Model ini diperkenalkan bersama-sama bahan promosi Model Y ketika pelancarannya di pasaran tempatan pada Julai lalu.

Versi Model 3 yang akan hadir ke pasaran Malaysia ini merupakan jenis facelift “Project Highland” baharu yang menampilkan rupa yang lebih “garang” dengan komponen yang dinaiktaraf.

Menurut Tesla, lebih dari 50% komponennya telah digantikan dan seterusnya menawarkan lebih banyak peningkatan dari model asalnya. Antaranya jarak pemanduan yang lebih jauh, bahagian dalaman kereta yang lebih baru serta pemanduan yang lebih senyap.

Pilihan Warna Tesla Model 3 di Malaysia

Tesla Model 3 ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Pearl White Multi-Coat, Solid Black, Deep Blue Metallic, serta Stealth Grey dan Ultra Red. Pearl White Multi-Coat, tidak melibatkan sebarang penambahan kos. Cuma dua warna Solid Black, Deep Blue Metallic akan melibatkan penambahan kos sebanyak RM5,000.

Dua lagi pilihan warna yang baharu Stealth Grey dan Ultra Red pula masing-masing perlu menambah RM7,500 dan RM11,000.

Pembeli yang berminat juga boleh memilih untuk menggantikan rim standard Photon Wheels 18-inci dengan rim yang lebih sporty Nova Wheels 19-inci dengan kos tambahan RM7,500.

Di dalamnya, papan pemuka kenderaan elektrik ini direka semula dengan pencahayaan lampu LED dengan kemasan jalur aluminium di sekeliling kabinnya. Kualiti bahan untuk hiasan dalamannya juga dipertingkatkan bagi memberikan rasa yang lebih mewah.

Hiasan dalaman Tesla Model 3

Versi Facelift ini juga menambah skrin kabin belakang untuk penumpang belakang bagi memberikan akses tontonan filem, bermain permainan dan juga akses kawalan suhu dan audio kenderaan tersebut. Juga disediakan port USB-C yang dinaik taraf dengan power delivery 65W pada sebelah hadapan dan dua lagi port tambahan Type-C di bahagian belakang.

Hiasan dalamannya boleh didapati dengan pilihan standard warna hitam keseluruhannya atau pilihan warna hitam dan putih dengan tambahan RM5,000. Model 3 standard juga hanya menawarkan sistem audio dengan sembilan pembesar suara dan satu penguat (amplifier). Namun untuk versi jarak jauh (Long Range) ia mempunyai 17 pembesar suara dengan dua penguat dan dua subwufer.

Pembeli juga boleh memilih sama ada konfiguras standard pacuan roda belakang atau pilihan Long Range dengan pacuan seluruh roda dwi-motor. Berbeza dengan Model Y, model ini tidak didatangkan dengan varian Performance setakat ini. Pembeli juga boleh menaik taraf ciri Autopilot standard kepada Enhanced Autopilot pada harga RM16,000 atau Full Self-Driving pada harga RM32,000.

Model 3 standard pacuan roda belakang dilengkapkan dengan motor tunggal di bahagian belakang yang dikatakan mmapu mencapai kelajuan dari 0 kepada 100km/j dalam tempoh 6.1 saat dan kelajuan tertinggi 201km/j. Baterinya pula menawarkan jarak maksimum sehingga 513km berdasarkan kitaran WLTP.

Untuk varian Long Range pula, ia menawarkan kelajuan tertinggi yang sama. Namun mempunyai masa pecutan 0-100km/j dalam tempoh 4.4 saat kerana memiliki dwi-motor. Sesuai dengan namanya, varian ini mempunyai jarak pemanduan yang lebih jauh iaitu 629km kerana faktor saiz baterinya yang lebih besar.

Harga Tesla Model 3 di Malaysia

Kenderaan elektrik yang baharu ini kini sudah pun mula dibuka untuk tempahan dengan varian asas berharga dari RM189,000 dan Long Range dari RM218,000. Tempahan kenderaan elektrik ini juga perlu dibuat bersama-sama bayaran RM1,000 yang tidak dipulangkan.

Telsa Modle 3 dijangka akan tiba di Malaysia pada penghujung 2023, lebih awal dari jangkaan tiba Model Y yang dijangka bermula awal 2024.

Maklumat lanjut, layari laman web rasmi Tesla.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.