Tesla Model 3 telah diumumkan untuk pasaran Malaysia bersama-sama Model Y pada Julai lalu dan baru-baru ini ketika pelancaran rasmi Tesla Centre di Cyberjaya, Model 3 dimaklumkan akan tiba di pasaran tempatan pada hujung bulan ini.
Rekaan kereta elektrik yang akan tiba ini kelihatan lebih agresif berbanding rekaan sebelumnya menerusi ubahsuai yang dinamakan sebagai “Project Highland”. Ia juga didatangkan dengan prestasi yang dipertingkatkan. Ketika pelancarannya, Tesla menyatakan lebih separuh daripada pengeluarannya akan digantikan dengan model yang diubahsuai tersebut. Prestasi yang dipertingkatkannya juga turut melibatkan jarak yang lebih jauh serta pemanduan yang lebih senyap.
Terdapat dua konfigurasi yang akan tiba di Malaysia. Satu daripadanya model Pacuan Roda Belakang (Rear-Wheel Drive) mempunyai masa pecutan dari 0 ke 100km/j dalam tempoh 6.1 saat serta berkelajuan mencecah 201km/j. Jarak maksimumnya mampu dicapai sehingga 513km berdasarkan kitaran WLTP.
Satu lagi pilihan Jarak Jauh (Long Range) turut menawarkan pilihan pacuan seluruh roda dwi-motor. Ia mempunuai kelajuan maksimum yang sama, namun mempunyai kadar pecutan yang lebih tinggi pada 4.4 saat dan jarak pemanduan yang lebih jauh pada 629km.
Untuk harganya, versi Pacuan Roda Belakang Tesla Model 3 ditawarkan pada RM189,000, manakala untuk model Jarak jauh pula berharga RM218,000. Pilihan tambahan lain turut ditawarkan seperti Enhanced Autopilot pada harga tambahan RM16,000 dan Full Self Driving perlu ditambah sebanyak RM32,000.
Terdapat lima warna yang ditawarkan iaitu Pearl White Multi Coat yang tidak melibatkan penambahan kos, Solid Black dan Deep Blue Metallic (tambahan RM5,000) serta Stealth Grey dan Ultra Red masing-masing dengan harga tambahan RM7,500 dan RM11,000.