Google telah melancarkan Play Pass, perkhidmatan langganan bulanan yang membolehkan anda mengakses ke aplikasi dan permainan berbayar di dalam gedung Play Store.
Perkhidmatan langganan dengan yuran bulanan $4.99 (lebih kurang RM20.45) ini menawarkan lebih dari 350 aplikasi dan permainan berbayar merangkumi judul-judul seperti Monument Valley, Risk dan Star Wars: Knights of the Old Republic. Senarai judul-judul ini juga akan ditambah di masa hadapan yang akan turut memasukkan aplikasi kesihatan, kecergasan dan fotografi.
Play Pass adalah hampir sama dengan Apple Arcade, perkhidmatan yang ditawarkan oleh Apple pada minggu lepas dengan yuran bulanan $4.99 (lebih kurang RM20.45). Tawaran dari Apple ini bagaimanapun mengkhususkan pada permainan dengan lebih dari 100 judul di dalamnya.
Buat masa ini Google sedang menawarkan promosi yuran langganan pada $1.99 untuk tahun pertama bersama-sama tempoh percubaan percuma selama 10 hari. Segala aplikasi-aplikasi dan permainan yang disenaraikan di bawah langganan ini boleh digunakan sepenuhnya tanpa gangguan iklan dan juga pembelian di dalam aplikasi. Langganan Play Pass turut dibenarkan untuk dikongsi kepada sehingga lima orang anggota keluarga pada satu-satu akaun.
Sumber berita diperoleh dari Google Blog