Utama Google Google Pixel 9 Pro Fold kini rasmi; Saiz skrin luaran sama dengan...

Google Pixel 9 Pro Fold kini rasmi; Saiz skrin luaran sama dengan Pixel 9 Pro

53
0

Selain memperkenalkan Pixel 9, Pro dan Pro XL, Google turut memperkenalkan telefon pintar boleh lipatnya, Pixel 9 Pro Fold. Menariknya, apabila dilipat telefon pintar ini mempunyai saiz ukuran paparan yang sama dengan Pixel 9 dan Pixel 9 Pro berserta dengan ketebalannya.

Skrin dalaman Pixel 9 Pro Fold yang dikenali sebagai Super Actua Flex berukuran 8-inci dan didakwa “paparan paling besar pada sesebuah telefon”. Sama seperti siri Pixel 9 yang lain, telefon pintar boleh lipat ini juga menggunakan pemprosesan Tensor G4 dan RAM 16GB.

Penggunaan pemprosesan yang berkuasa tinggi dan kapasiti RAM yang besar ini juga dapat memudahkan fungsi berbilang tugasan dengan skrin berbahagi dapat digunakan dengan lancar oleh pengguna.

Ciri paling baharu yang diperkenalkan khusus untuk telefon pintar boleh lipat ini – Made You Look. Ia amat berguna buat ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil untuk memastikan pandangan mata tertumpu pada kamera ketika gambar di ambil dengan memaparkan imej-imej yang menarik perhatian anak-anak. Mungkin gambar-gambar Hari Raya kelak dengan fungsi ini dapat dihasilkan dengan lebih baik dengan ceria apabila mata anak-anak tertumpu pada kamera telefon.

Google Pixel 9 Pro Fold juga mempunyai ciri eksklusif kawalan kamera secara manual dan ia berguna bagi sesetengah pengguna yang mempunyai citarasa tersendiri dalam setiap gambar yang diambil. Namun, secara lazimnya telefon pintar Pixel mampu mengambil foto dengan baik secara terus tanpa pengguna perlu melakukan tetapan yang rumit.

Kamera-kamera telefon pintar boleh lipat keluaran Google ini terdiri daripada kamera utama 48MP, kamera bersudut lebar 10.5MP dan kombo telefoto 5x 10.8MP. Kamera pada kedua-dua belah skrin luaran dan dalamannya masing-masing merupakan kamera 10MP.

Google Pixel 9 Pro Fold dijual pada harga US$1,799 (~RM8,006) dan pra-tempahannya kini dibuka untuk pasaran Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah dengan pasaran lain seperti Malaysia tidak akan hadir secara rasminya.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.