Ciri simulasi penerbangan yang selama dua dekad disembunyikan sebagai fungsi rahsia (easter egg) dalam perisian komputer Google Earth, kini boleh diakses terus melalui pelayar web.
Berdasarkan kemas kini terbaru pada dokumen rasmi gergasi carian internet tersebut, mod ‘Flight Simulator’ ini dipercayai telah ditambah pada hujung minggu lalu.
Bagi pengguna tegar perisian komputer Google Earth, ciri ini mungkin bukan sesuatu yang baharu. Namun, penawaran ciri ini ke versi web menjadikannya jauh lebih mudah diakses oleh orang awam tanpa perlu memuat turun perisian berat.
Walau bagaimanapun, pengguna yang cuba mengakses ciri ini melalui pelayar web peranti mudah alih akan diarahkan untuk memuat turun aplikasi khas Google Earth.
Langkah untuk mengakses mod simulasi penerbangan ini pada komputer peribadi (PC) adalah sangat mudah:
- Buka laman web rasmi Google Earth menggunakan pelayar web.
- Klik pada butang “Explore Earth” untuk mula meninjau.
- Buka menu “Tools” yang terletak di bahagian atas skrin.
- Pilih pilihan “Flight simulator” dari senarai menu tersebut.
Pengalaman Kawalan Dan Fizik Penerbangan
Mod simulasi versi web ini menawarkan pengalaman kawalan dan fizik penerbangan yang telah dipermudahkan untuk pengguna umum.
Pengguna tidak perlu memikirkan proses merumitkan seperti memandu arah di landasan (taxiing), berlepas, atau mendarat. Semua kawalan pergerakan dilakukan sepenuhnya menggunakan kekunci anak panah (arrow keys). Manakala kekunci ‘Page Up’ dan ‘Page Down’ digunakan untuk menambah atau mengurangkan kelajuan pesawat.
Peminat permainan video mungkin sedikit hampa kerana kawalan popular kekunci WASD tidak disokong dalam versi ini. Pengguna boleh menggunakan tetikus untuk mengawal penerbangan. Namun ia tidak digalakkan kerana pergerakan yang terlalu sensitif boleh menyebabkan pesawat berputar di udara. Sekali gus berpotensi mencetuskan rasa mual kepada pengguna.
Dari segi mekanik penerbangan, ia bukan sekadar pengalaman arked mudah seperti siri permainan Ace Combat. Tiada fungsi imbangan automatik untuk menstabilkan pesawat jika ia hilang kawalan, yang bermakna setiap input pergerakan perlulah dilakukan dengan berhati-hati.
Prestasi Visual Dan Potensi Penggunaan
Berbeza dengan simulator penerbangan berbayar yang lebih kompleks, mod ini tidak meletakkan risiko kehilangan daya angkat (stalling) biarpun pada kelajuan paling minimum.
Pengguna bagaimanapun masih boleh terhempas jika pesawat dipandu terus ke arah tanah. Penerbangan pada kelajuan tinggi juga boleh menjejaskan kelancaran pengalaman visual, terutamanya jika kelajuan internet pengguna kurang memuaskan yang akan menyebabkan tekstur permukaan bumi lambat dimuat turun.
Kehadiran ciri percuma ini menambah dimensi baharu kepada pengguna yang kerap menggunakan perkhidmatan Google Maps. Ia juga dilihat berpotensi menjadi batu loncatan kepada pengguna untuk mencuba perisian simulasi penerbangan berbayar dan lebih realistik seperti Microsoft Flight Simulator pada masa akan datang.
Untuk tujuan yang lebih serius, Google Earth turut menawarkan lapisan peta berbayar khusus untuk golongan penyelidik bagi mendapatkan akses maklumat yang lebih terperinci.













