Samsung sebelum ini telah mewujudkan piawaian baharu dalam kemaskini perisian di dalam ekosistem Android dengan menawarkan kemaskini OS selamat empat tahun dan lima tahun kemaskini keselamatan untuk peranti Galaxy keluarannya.
Keadaan ini dijangka berubah tidak lama lagi dengan kehadiran siri telefon pintar Google Pixel 8. Ia dikatakan akan menawarkan sokongan yang lebih panjang mengatasi sokongan yang diberikan terhadap peranti Samsung dan lebih mirip kepada sokongan perisian untuk iPhone.
Apple pada kebiasaannya menydiakan sokongan iOS untuk iPhone sekurang-kurangnya 5 tahun selepas pelancarannya. Selain kemaskini tersebut, sokongan kemaskini keselamatan akan terus ditawarkan selepas tempoh 5 tahun pertama sebagaimana yang diterima oleh iPhone X yang dilancarkan pada 2018.
Menurut sumber dari 9to5Google, polisi kemaskini perisian Pixel 8 dijangka menyaingi penawaran yang disediakan pada iPhone. Perincian mengenainya bagaimanapun tidak dinyatakan setakat ini. Namun, ia merupakan sesuatu yang besar jika benar-benar direalisasikan pada siri Pixel 8 kelak.
Penggunaan Tensor dan Sokongan jangka panjang
Teras ARM v9 yang lebih moden pada Tensor G3 dijangka mampu memberikan kesan terhadap keputusan Google untuk menyediakan kemaskini sistem operasi untuk Pixel 8 dalam jangka masa yang lebih panjang. Desas-desus menyatakan Tensor G3 pada tahun ini akan membawakan peningkatan prestasi dan kecekapan yang besar jika dibandingkan dengan dua siri sebelumnya.
Kali terakhir Google mengemaskini polisi kemaskini perisian untuk siri Pixel keluarannya ketika pelancaran Pixel 6 pada tahun 2021. Kesemua peranti yang dilancarkan selepas itu, termasuk Pixel Fold layak menerima tiga kemaskini OS dan lima tahun kemaskini keselamatan.
Peralihan Google kepada Tensor, pemprosesan buatannya sendiri membolehkan sokongan untuk perisian dapat diberikan dalam jangka waktu yang lebih panjang. Hal ini kerana Google mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap perancangan pembangunan perisian dan perkakasannya. Seterusnya, lebih mudah untuk menentukan seberapa lama telefon pintar dan tabletnya akan menerima kemaskini OS dan keselamatan.
Pemprosesan Tensor generasi terkini merupakan pemprosesan Exynos dari Samsung yang telah diubahsuai. Pembaharuan pada polisi kemaskini perisian ini dijangka dapat dipertingkatkan lagi apabila Google mengubahsuai sepenuhnya cip Tensor yang dijangka dilaksanakan pada tahun 2025 nanti.
Untuk siri Pixel 4 dan Pixel 5 yang dikuasakan oleh pemprosesan Snapdragon, peranti berkenaan menerima kemaskini perisian dan keselamatan dalam tempoh tiga tahun selepas pelancarannya.