Utama Mobile Android Google menyertakan Papan Kekunci Braille pada peranti Android

Google menyertakan Papan Kekunci Braille pada peranti Android

881
0

Google TalkBack secara asasnya merupakan sebuah pembaca skrin pada peranti Android. Ianya bertujuan bagi memudahkan akses penggunaan oleh para pengguna yang mempunyai masalah penglihatan ketika menggunakan telefon pintar.

Kini, Google telah memperkenalkan papan kekunci Braille maya berintegrasi untuk pengguna Android. Fungsi berkenaan dimasukkan bersekali dengan servis TalkBack.

Braille yang diciptakan pada lebih dari seabad yang lalu telah pun digunakan pada pelbagai peranti merangkumi telefon dan komputer melalui aksesori papan kekunci fizikal yang berasingan. Penambahan ciri kemudahan terbaru dari Google ini diharapkan mampu membantu para pengguna yang kurang daya penglihatan menggunakan telefon pintar dengan lebih mudah.

Bagi anda yang sudah biasa menggunakan papan kekunci Braille, versi terbina dalam dari Google ini tidak jauh beza cirinya. Ianya mempunya susun atur standard 6 kekunci dan ketikan setiap kekunci individu akan menghasilkan huruf-huruf dan simbol. Gambarajah di bawah memperincikan kaedah penggunaan papan kekunci Braille Google berkenaan.

Apabila fungsi papan kekunci Braille ini diaktifkan, pengguna boleh menukar semula ke jenis-jenis papan kekunci lain sama seperti biasa. Papan kekunci Braille ini boleh digunakan pada hampir semua jenis aplikasi Android.

Cuma, buat masa ini Google menyatakan papan kekunci ini masih lagi belum menyokong aplikasi Google Docs dan Messages. Selain itu, fungsi kibasan (gesture) Talkback tidak boleh digunakan jika papan kekunci Braille diaktifkan.

Google meluncurkan kemaskini ini ke peranti-peranti Android versi 5.0 da ke atas secara berperingkat.

Bagi menghidupkan papan kekunci Braille Google ini, pada peranti Android anda, pergi ke Settings > System > Accessibility > TalkBack > Settings, dan pilih Braille keyboard. Sebaik dihidupkan, anda boleh menukarkan ke papan kekunci berkenaan pada mana-mana aplikasi yang menyokongnya.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.