Utama Kesihatan Taipei perkenalkan Mesin Jual Topeng Muka berasaskan ID dengan Bantuan dari MSI

Taipei perkenalkan Mesin Jual Topeng Muka berasaskan ID dengan Bantuan dari MSI

677
0

Taipei telah memperkenalkan mesin jual topeng muka berasaskan kad pengenalan bagi mengurangkan beban penduduknya dalam menghadapi wabak pandemik COVID-19.

Mesin jualan ini merupakan usaha kolaborasi di antara jawatankuasa bertindak teknikal perbandaran, Pentadbiran Insurans Kesihatan Nasional (NHI) dan pihak industri tempatan termasuk MSI.

Liberty Times melaporkan MSI menyumbangkan peranannya pada rekaan mesin berkenaan yang menggabungkan telekomunikasi, pembayaran mudah alih, paparan interaktif dan teknologi Artificial Intelligence of Things (AIoT).

Pertama seumpamanya di Taiwan, pihak MSI yakin mesin ini mampu membantu meringankan beban permintaan yang dihadapi oleh para pengedar topeng-topeng muka. MSI juga turut menjamin keselamatan data peribadi yang digunakan untuk tujuan pembelian topeng muka pada mesin berkenaan.

Datuk Bandar Taipei, Ko Wen-je menyatakan mesin berkenaan membenarkan pelbagai pilihan cara pembayaran dengan menggunakan kad insurans NHI untuk tujuan pengesahan identiti.

Sebanyak tiga buah mesin jualan topeng muka telah dipasang di Pusat Kesihatan Daerah Xinyi, dan bakal diperluaskan ke seluruh 12 buah daerah pentadbiran Taipei. Beliau turut menambah hanya 30 saat diperlukan untuk melengkapkan proses pembelian melalui mesin tersebut.

Mesin jualan pintar ini bagaimanapun masih lagi perlu menjalani ujian tekanan sebelum ianya boleh dipasangkan ke seluruh Taiwan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.