Utama Mobile Oppo dedahkan Teknologi Pengecasan Pantas Berwayar 125W dan Nirwayar 65W

Oppo dedahkan Teknologi Pengecasan Pantas Berwayar 125W dan Nirwayar 65W

776
0

Oppo baru-baru ini telah mendedahkan beberapa produk dengan teknologi pantas baharu pada 15 Julali lalu. Antara yang diperkenalkan adalah pengecas pantas berwayar 125W dan pengecas nirwayar pantas AirVOOC berkeupayaan 65W.

Flash Charge 125W terbaru dari Oppo ini mengatasi teknologi pengecasan pantas VOOC terdahulu yang berkeupayaan 65W.

Menurut Oppo, pengecas ini mampu mengecas penuh bateri 4,000mAh dalam tempoh kurang dari 20 minit. Selain itu, ia juga mampu mengisi 41 peratus bekalan dalam tempoh 5 minit sahaja.

Malahan, pengecas ini juga boleh disesuaikan dengan USB Power Delivery (PD) pada 65W dan USB Power Delivery Programmable Power Supply (PPS) pada 125W. Ini seterusnya membolehkan Flash Charge baharu ini disesuaikan dengan semua jenis peranti.

Pengecas pantas nirwayar AirVOOC 65W menampilkan rekaan baharu dengan pemegang telefon, berbeza rekaan 40W terdahulu yang menyediakan piring pengecas. Oppo menjanjikan kelajuan mengecas dalam tempoh 30 minit sahaja bagi bateri berkapasiti 4,000mAh. Peningkatan mendadak dari teknologi terdahulu yang mengambil masa sehingga sejam untuk kapasiti yang sama.

AirVOOC baharu ini dilengkapkan dengan gegelung pengecasan berkembar dengan kecekapan 88 peratus bagi membolehkannya digunakan secara optimum. Bagaimanapun, Oppo menyatakan tahap ini hanya boleh dicapai dengan peranti yang bersesuaian sahaja. Buat masa ini Oppo sedang mengusahakan teknologi gegelung tunggal bagi mengatasi keterbatasannya pada ketika ini.

Tidak cepat panas

Kedua-dua jenis pengecas ini dijamin tidak akan memanaskan bateri melebihi 40°C bagi mencegah keadaan lampau panas dan nyahgred, menurut Oppo. Bagi pengecas 125W, bateri yang disokong akan dibahagi kepada dua untuk pengecasan selari dan menggunakan mikropengawal 128-bit untuk mengoptimumkan aliran arus dan voltannya.

Pada masa yang sama, sepuluh penderia suhunya akan memastikan suhunya kekal dibawah 40°C serta dibantu oleh sebuah fius yang akan memutus bekalan jika berlaku lebihan voltan. Oppo turut menyatakan bateri yang disokong akan kekal pada paras 80% dari kapasiti asalnya walaupun sudah mencapai 800 kitaran pengecasan.

Pengecas AirVOOC 65W didatangkan bersama-sama kemasan kaca serta turut dilengkapkan dengan penyejuk semikonduktor dan kipas dibawahnya. Ini bagi memastikan suhu telefon dan pad pengecasnya kekal dibawah 40°C.

Oppo pada masa yang sama turut memperkenalkan dua pengecas kompak Gallium Nitride (GaN) 110W dan 50W. Kedua-duanya menampilkan sokongan USB PD dan USB PPS.

Setakat ini Oppo masih belum menyatakan model telefon pintar keluarannya kelak yang akan menggunakan teknologi pengecasan pantas baharu ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.