Caltex Malaysia mengumumkan gangguan bekalan petrol RON95 dan diesel di beberapa buah stesen di lima negeri bermula sejak Jumaat, 17 April 2026.
Gangguan operasi ini disahkan berpunca daripada kelewatan yang tidak dijangka di kawasan pelabuhan yang menjejaskan rantaian logistik bekalan.
Masalah kekurangan bekalan bahan api ini melibatkan stesen-stesen Caltex yang beroperasi di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Kelantan. Situasi ketiadaan minyak ini dijangka akan berlarutan selama beberapa hari sebelum operasi logistik kembali pulih sepenuhnya.
Menurut Caltex Malaysia, kelewatan operasi di pelabuhan tersebut telah memberi kesan terhadap jadual penghantaran bekalan harian.
Pihak Caltex turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul menerusi hantaran di laman Facebook rasmi. Pasukan logistik kini sedang giat menyusun dan mengutamakan semula jadual penghantaran bagi meminimumkan tempoh gangguan di stesen yang terjejas.
Pengguna jalan raya terutamanya di kawasan utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia dinasihatkan untuk merancang perjalanan berikutan gangguan bekalan yang berlaku ini.
Serangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran telah mengganggu rantaian bekalan minyak dan gas global. Hal ini telah menjejaskan aliran trafik perkapalan yang kebiasaannya membawa 20% bekalan global melalui Selat Hormuz.










