DJI telah melancarkan kamera gimbal poket baharunya, Osmo Pocket 4 secara rasmi di pasaran Malaysia. Ia membawakan peningkatan pada keupayaan rakaman video tahap profesional serta sistem penjejakan subjek yang lebih canggih untuk pencipta kandungan.

Model kamera baharu ini direka berkesinambungan kepada siri Osmo Pocket 3. Penambahan beberapa butang dan kawalan fizikal baharu bagi memudahkan pengendalian turut disediakan.

Peranti ini dilengkapkan dengan sebuah skrin sentuh boleh putar bersaiz 2 inci. Ia kini diiktiraf lebih terang, mampu mencapai tahap kecerahan puncak sehingga 1,000 nits untuk memberikan paparan yang lebih jelas di bawah cahaya matahari.

Untuk sensor dan penstabilan, peranti ini dilengkapkan dengan sensor CMOS 1-inci. Ia dipadankan pada penstabil mekanikal tiga paksi dengan julat dinamik (dynamic range) sehingga 14 hentian. Fungsinay untuk mengekalkan lebih banyak butiran pada kawasan imej yang terlalu terang atau terlalu gelap.

Osmo Pocket 4 juga menyokong rakaman video resolusi tinggi 4K pada kadar hingga 240 bingkai sesaat (fps). Untuk tangkapan gambar pula menyokong beresolusi 7680×4320 piksel. Ia turut menawarkan keupayaan zum tanpa hilang kualiti (lossless zoom) 2x dan profil warna 10-bit D-log.

Dikuasakan dengan teknologi ActiveTrack 7.0 dan sistem autofokus pintar yang baharu, Osmo Pocket 4 memanfaatkan ciri Subject Lock Tracking. Ia dapat memastikan kamera kekal memfokus tepat pada subjek pilihan. Manakala Registered Subject Priority pula membolehkan peranti mengecam subjek yang telah ditetapkan secara automatik.

Turut disedakan, kawalan berpandukan gerak isyarat (gesture controls) serta membolehkan rakaman audio empat saluran apabila ia disambungkan bersama pemancar DJI Mic.

Anda kini boleh membuat pra-tempahan untuk mendapatkan DJI Osmo Pocket 4 melalui rangkaian pengedar sah serta platform e-dagang rasmi di Shopee, Lazada, dan TikTok Shop.

Harga jualan rasmi bermula pada RM1,999 untuk varian Standard Combo. Manakala varian Creator Combo pula ditawarkan pada harga RM2,599 yang dilengkapi aksesori tambahan seperti unit DJI Mic 3 dan lampu Fill Light.

Tinggalkan komentar