Utama Mobile Aplikasi Pendaftaran MyDigital ID mula dibuka untuk Orang Awam pada Mac 2024

Pendaftaran MyDigital ID mula dibuka untuk Orang Awam pada Mac 2024

154
0

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengumumkan pendaftaran MyDigital ID untuk orang awam akan mula dilaksanakan pada Mac 2024. Agensi di bawahnya, MIMOS Berhad menyatakan sistem ini menerima pengiktirafan antarabangsa dengan persijilan EAL3+ dan dilengkapkan dengan ciri keselamatan berasaskan kriptografi bagi memastikan keterjaminan keselamatan data peribadi.

MyDigital ID merupakan kaedah pengesahan identiti secara dalam talian bagi membolehkan rakyat Malaysia akses ke pelbagai platform digital kerajaan dengan lebih lancar.

Inisiatif ini diusahakan oleh MOSTI dan MIMOS Berhad dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), serta dikawalselia di bawah Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Menurut kementerian berkenaan, pelaksanaannya disasarkan bagi memudahkan pelbagai perkhidmatan digital disamping memperkukuhkan tahap keselamatan transaksi dalam talian.

Melalui pengintegrasian proses pengesahan secara dalam talian, individu kelak boleh menggunakan pelbagai perkhidmatan tanpa perlu melog masuk akaun secara berasingan mengikut aplikasi jabatan, agensi atau kementerian masing-masing seperti yang sedia ada buat masa ini. Sistem ini juga tidak akan menyimpan apa jua data biometrik pengguna selain turut tidak mengumpulkan atau menyimpan pangkalan data peribadi pengguna.

Buat masa ini pendaftaran MyDigital ID hanya dibuka kepada semua penjawat awam. Pendaftaran untuk orang awam pula akan dimaklumkan lokasi-lokasi kiosk pendaftarannya kelak oleh MIMOS menerusi laman web rasminya.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.