Utama Mobile Telco Fahmi Fadzil: Telco akan umumkan berita baik berkait 5G menjelang akhir bulan...

Fahmi Fadzil: Telco akan umumkan berita baik berkait 5G menjelang akhir bulan ini

263
0

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyatakan pihak syarikat-syarikat telekomunikasi akan mengumumkan beberapa berita baik berkait dengan pelaksanaan 5G di Malaysia. Beliau menyatakan demikian di dalam mesyuarat bulanan di kementeriannya baru-baru ini.

Menurut laporan dari Bernama, Fahmi menyatakan pengumuman penting dari syarikat telekomunikasi tersebut akan dibuat pada 30 Jun ini. Beliau turut menyatakan pengumuman berkenaan akan dibuat secara bersama dengan Digital Nasional Berhad (DNB) dan pemegang-pemegang saham lain.

Terdahulu, kerajaan Malaysia telah mengumumkan perubahan polisi dari model rangkaian borong tunggal 5G kepada model dua rangkaian borong 5G. Digital Nasional Berhad yang dimiliki kerajaan akan diberikan sasaran mencapai 80% liputan populasi 5G menjelang akhir tahun ini sebelum pelaksanaan rangkaian 5G kedua dimulakan pada awal 2024 nanti.

Pasukan Petugas 5G

Bagi memastikan proses peralihan berjalan dengan lancar, Menteri Komunikasi dan Digital telah mengumumkan Pasukan Petugas 5G yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha KKD serta diurusetiakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Isu-isu yang diketemukan kelak akan diketengahkan bagi membolehkan lebih banyak penyedia perkhidmatan dapat menawarkan rangkaian 5G kepada pengguna.

Buat masa ini, pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia dilaporkan berada pada 62.1% liputan berpenduduk. Sungguhpun terdapat peningkatan pada liputan, kadar penggunaan 5G di Malaysia masih lagi antara yang terendah di rantau Asia.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melaporkan baru-baru ini kadar penggunaan 5G berada pada 3.1% sahaja, bersamaan 1.2 juta pengguna sehingga 30 April 2023.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.