Utama Android Xiaomi Xiaomi 13 Ultra kini di Malaysia dengan Harga RM5,199

Xiaomi 13 Ultra kini di Malaysia dengan Harga RM5,199

282
0

Xiaomi pada hari ini secara rasminya telah melancarkan Xiaomi 13 Ultra di pasaran Malaysia. Model paling tinggi bagi telefon pintar mercu keluaran Xiaomi tahun 2023 ini menggunakan cipset terkini Snapdragon 8 Gen 2 dan kamera dengan sensor Sony IMX989 1-inci yang ditala khas oleh Leica.

Berbeza dengan model pasaran China, Xiaomi 13 Ultra ini hanya ditawarkan pilihan warna Hitam dan Hijau Zaitun (Olive Green). Lain-lain ciri seperti reka bentuk, kefungsian dan lain-lain masih lagi sama.

Dari segi spesifikasi, Xiaomi 13 Ultra menampilkan paparan skrin melengkung AMOLED LTPO C7 6.73-inci dengan resolusi 3200 x 1440. Ia juga mempunyai kadar penyegaran semula skrin 120Hz, kadar pensampelan sentuhan 240Hz dan kecerahan puncak 2,600 nits.

Skrin yang dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass Victus ini juga mempunyai pengimbas cap jari optikal di bawah paparannya. Tidak ketinggalan, telefon pintar ini juga mempunyai pembesar suara stereo, serta port USB-C untuk pemindahan data dan pengecasan.

Di dalamnya pula terdapat cipset Snapdragon 8 Gen 2 bersama-sama RAM LPDDR5X 12GB dan storan UFS 4.0 512GB. Buat masa ini hanya satu konfigurasi memori dan storan yang ditawarkan bagi pasaran Malaysia.

Dalam pada masa yang sama, Xiaomi 13 Ultra juga didatangkan dengan sistem penyejukan Loop LiquidCool terbina di dalamnya. Untuk ketersambungan pula, telefon pintar ini menyediakan Wi-Fi, Bluetooth 5.3, dan NFC.

Seperti model mercu lain keluaran tahun ini, ia menggunakan sistem operasi terkini, Android 13 melalui MIUI 14. Melengkapkan spesifikasinya, telefon pintar ini mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan berwayar 90W dan nirwayar 50W.

Untuk fotografi, di belakang Xiaomi 13 Ultra menempatkan gugusan kuad-kamera Leica yang mengandungi sensor kamera utama Sony IMX 989 1-inci 50.3MP dengan apertur dua langkah (two-step). Ia juga bergandingan tiga sensor Sony IMX 858 50MP, masing-masing untuk ultra-lebar, telefoto jarak sederhana dan telefoto berperiskop. Pada sebelah hadapannya pula menempatkan sebuah kamera 32MP.

Harga Xiaomi 13 Ultra di Malaysia

Xiaomi 13 Ultra yang baharu sahaja dilancarkan ini berharga RM5,199 dan boleh dipra-tempah bermula dari 23 Jun sehingga 29 Jun 2023 menerusi wakil pengedar yang sah di seluruh negara dan juga secara dalam talian.

Anda yang membuat pra-tempah di sepanjang tempoh ini juga berpeluang untuk menerima set Xiaomi Instant Photo Printer 1S, storan awanan di Google One sebanyak 100GB untuk enam bulan dan juga waranti lanjutan 1 + 1 tahun secara percuma selagi stok masih ada.

Maklumat lanjut, layari Xiaomi Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.