Facebook pada masa ini sedang berusaha mempergiatkan penawaran kandungan video dan salah satu langkah ke arah itu adalah dengan menawarkan kandungan berkaitan sukan. Menurut satu sumber laporan terkini, Facebook merupakan salah satu pihak yang membida untuk mendapatkan hak penyiaran bagi Liga Perdana Inggeris di beberapa pasaran sekitar rantau Asia Tenggara.
Bloomberg melaporkan Facebook sedang membincangkan hak penyiaran dengan Liga Perdana Inggeris yang mana bakal memberi peluang buat platform media sosial berkenaan menayangkan EPL di negara-negara seperti Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam. Kenyataan rasmi dari Facebook dijangka bakal dikeluarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Perjanjian hak penyiaran eksklusif tiga tahun ini menunjukkan bahawa Facebook benar-benar serius dalam menjadikan platformnya sebagai hab untuk peminat sukan. Ia juga sebagai salah satu cara bagi Facebook menggalakkan pengguna-penggunanya di rantau Asia Tenggara meluangkan masa yang lebih lama di Facebook.
Facebook bukanlah satu-satunya pembida hak penyiaran liga sukan paling popular berkenaan. Syarikat penyiar yang berpangkalan di Qatar, BeIN Sports turut melakukan bidaan. Media melaporkan syarikat penyiar dari Timur Tengah berkenaan telah berjaya mendapatkan hak penyiaran selama tiga tahun bagi kesemua jumlah 380 perlawanan untuk siaran di rantau berkenaan pada harga RM1,010 juta.
Sumber berita diperoleh dari Bloomberg