Proton e.MAS 7 dijadualkan akan mula dilancarkan secara rasminya pada Disember ini dan pengguna yang berminat boleh melihat kenderaan elektrik (EV) pertama Proton ini menerusi laman web rasmi EON. Cawangan EON Glenmarie dan Damansara merupakan pusat pengedaran rasmi Proton e.MAS.
Berdasarkan laman web rasminya, tempahan boleh dibuat dengan meletakkan deposit sebanyak RM500. Tidak dapat dipastikan sama ada bayaran ini boleh dipulangkan semula jika pengguna membatalkannya kemudian.
Dalam pada masa yang sama, anda boleh membuat pendaftaran minat menerusi laman web rasmi EON tersebut untuk menerima kemaskini terkini dan maklumat berkaitan dengan e.MAS 7.
Seperti yang telah diumumkan oleh Proton sebelum ini, EV pertama Proton ini dijadualkan akan diperkenalkan pada Disember 2024. Menjelang pelancarannya, Proton turut membawakan kenderaan baharunya yang akan datang ini menjelajah di pelbagai lokasi di seluruh Malaysia.
Antara lokasi menarik yang dikunjunginya, EON Glenmarie akan dibuat pada 27 Oktober ini dan anda yang berminat untuk melihatnya dengan lebih dekat boleh mendaftarkan jemputan.
Secara ringkasnya, e.MAS 7 dibangunkan secara bersama oleh Proton dan Geely dan kebanyakan spesifikasinya kelihatan sama seperti Geely Galaxy E5. Dijangkakan output kuasanya menyamai dengan apa yang ditawarkan oleh kenderaan elektrik Geely berkenaan.
Galaxy E5 menampilkan motor elektrik pacuan hadapan berkeupayaan 218PS (160KW) dan tork sebanyak 320Nm membolehkannya memecut dari 0 ke 100km/j dalam 6.9 saat. Geely menawarkan dua varian untuk EV tersebut iaitu bateri berkapasiti 49.52kWj untuk jarak sehingga 440km dan 60.22kWj untuk jarak sehingga 530km. Anggaran jarak tersebut adalah berdasarkan ujian piawaian CLTC.