Utama Automotif Jenama Kenderaan Elektrik (EV) Proton secara rasminya dikenali sebagai e.Mas

Jenama Kenderaan Elektrik (EV) Proton secara rasminya dikenali sebagai e.Mas

78
0
Proton eMAS
Imej daripada Proton [Facebook]

Proton secara rasminya telah mendedahkan nama sub-jenama kenderaan elektrik (electric vehicle, EV) di bawahnya sebagai eMas. Digayakan sebagai e.Mas, Ketua Pereka Proton Azlan Othman menyatakan nama baharu ini merupakan gabungan perkataan untuk “Electrik” dan “Malaysia”.

“Huruf e memberi simbol kepada elektrik dengan MAS pula adalah singkatan untuk Malaysia, negara yang kita cintai. Oleh itu, e.MAS merupakan simbol peneraju Malaysia ke arah menyediakan mobiliti elektrik,” ujar beliau ketika majlis pelancaran di Proton Centre of Excellence Complex di Subang Jaya.

Bagaimanapun, pihak Proton menjelaskan perkataan “e.MAS” baharu ini tidak boleh disalah anggap dengan bunyi perkataan emas.

Bersama-sama nama e.Mas, Proton juga menyertakan logo baharu yang melambangkan sub-jenama kenderaan elektrik baharu ini. Logo ini merupakan versi yang diilhamkan semula dari logo utama Proton yang sedia ada.

“Ia membawakan warisan, kebanggaan, dan kesinambungan yang dimaknakan di dalam imej harimau. Ia berevolusi dari logo utama jenama menampilkan imej harimau yang jelas dan nyata. Malah, logo EV boleh dikenalpasti dari jauh dalam pelbagai keadaan.” ujar beliau lagi.

Model SUV berasaskan Geely

Model kenderaan elektrik pertama di bawah jenama tersebut dikatakan akan hadir dalam bentuk SUV berasaskan Geely Galaxy E5, menurut portal automotif popular tempatan Paultan.

Geely Galaxy E5 juga sebelum ini pernah dikatakan akan menjadi kenderaan elektrik yang akan menjadi rujukan Proton menerusi program e.Mas. Tambahan pula, nama “emas” ini pernah muncul pertama kali sejak 2010 oleh Proton untuk tiga buah model kereta konsep elektrik di Geneva Motor Show.

Proton Geely Galaxy E5
Geely Galaxy E5 – Gambar dari Paultan

Selain dari pengumuman nama e.Mas tersebut, Proton juga mengumumkan 17 pengedar kenderaan elektrik (EV) Proton yang dimeteraikan perjanjiannya pada hari yang sama. Pihak syarikat juga menyatakan perancangan untuk membuka 30 outlet untuk sub-jenama tersebut menjelang 2025.

Pada April tahun lalu, Proton menyatakan pihaknya mungkin akan mempercepatkan untuk memperkenalkan kenderaan elektrik yang bersesuaian dengan pelanggan-pelanggan Malaysia seawal 2025 berbanding 2027 seperti di dalam perancangan awal.

Dilaporkan, pihak syarikat sedang di dalam proses untuk mengenalpasti model kenderaan elektrik yang lebih mampu milik dan praktikal.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.