Utama Mobile Telco Celcom, Maxis, TM, dan Google Classroom Ganti 1BestariNet Sebagai Penyedia Internet dan...

Celcom, Maxis, TM, dan Google Classroom Ganti 1BestariNet Sebagai Penyedia Internet dan VLE Sekolah

1704
1

Kementerian Pendidikan Malaysia (MOE) telah mengumumkan peranan penyedia perkhidmatan Internet (ISP) untuk lebih dari 10,000 buah sekolah di seluruh Malaysia akan diambil alih oleh syarikat-syarikat baru mulai Julai ini. Ini disebabkan oleh pihak kerajaan tidak akan memperbaharui kontrak selama 7 tahun dengan 1BestariNet dari YTL Communications yang akan berakhir pada 30 Jun 2019.

Berdasarkan kenyataan media yang telah dikeluarkan, KPM telah memilih Celcom, Maxis, dan TM untuk menjadi ISP untuk sekolah-sekolah ini. Pada masa yang sama, pihak penyedia ini juga akan bertanggungjawab terhadap sambungan Internet ke jabatan-jabatan berkaitan di dalam kementerian dan sejumlah 366 buah Pusat Kegiatan Guru di seluruh negara.

Bagaimanapun, perjanjian ini hanya untuk tempoh enam bulan sahaja kerana pihak kementerian kini sedang mencari ISP yang mampu menyediakan kontrak jangka panjang yang dijadualkan bermula pada 1 Januari 2020. Pihak KPM juga tidak menjelaskan di dalam pengumuman tersebut sama ada ketiga-tiga syarikat penyedia berkenaan akan dipertimbangkan sebagai penyedia jangka panjang atau tidak.

Memandangkan kontrak KPM dengan 1Bestarinet turut merangkumi perkhidmatan persekitaran pembelajaran maya (VLE) yang dikenali sebagai Frog VLE, pihak kementerian telah menyatakan perkhidmatan berkenaan akan digantikan dengan Google Classroom.

Sungguhpun terdapat perubahan dalam pengurusan, anak syarikat YTL yang bertanggungjawab untuk Frog VLE, FrogAsia menyatakan di dalam laman web rasminya bahawa perkhidmatan VLE darinya akan diteruskan bagi sekolah-sekolah yang masih berminat.

Sumber berita diperoleh dari Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.