Sungguhpun sedang berhadapan dengan pengharaman oleh kerajaan A.S., Huawei dan jenama keduanya, HONOR, masih lagi memberikan sinar harapan untuk masa depan kedua-duanya. Didapati, peranti mercu keluarannya, Honor 20 masih lagi tersenarai untuk menerima kemas kini terbaru Android Q.
Pihak Huawei memaklumkan pengguna-pengguna yang kini memiliki peranti HONOR atau sedang merancang untuk membelinya akan sentiasa mempunyai akses kepada “seluruh aplikasi-aplikasi seperti biasa”. Turut dinyatakan, HONOR 20 Lite, HONOR 20, dan HONOR 20 Pro masih tetap akan menerima kemas kini Android Q dari Google. Namun, tidak menyatakan sebarang garis masa pelaksanaan kemas kini berkenaan.
Dalam perkembangan lain, HONOR baru-baru ini telah mengumumkan bahawa pelancaran OS MAGIC 2.1 untuk View20 . Ciri-ciri dan kemas kini untuk OS ini adalah sama dengan EMUI 9.1, yang dilancarkan untuk peranti-peranti Huawei baru-baru ini.
Perkembangan ini adalah sesuatu yang menarik untuk diikuti bagi mengetahui bagaimanakah Huawei mengatasi masalah pengharaman yang dikuatkuasakan oleh pentadbiran Presiden Trump terhadapnya. Diharapkan sekatan ini tidak berpanjangan dan berlarutan sehingga mencetuskan permasalahan yang lain pula nanti.
Sumber berita diperoleh dari Trusted Review