Microsoft Office merupakan salah satu perisian produktiviti yang mahal tetapi amat penting. Harga langganan untuk perkhidmatan Microsoft 365 adalah dari serendah RM 269 setahun atau RM 27 untuk langganan secara bulanan. Manakala untuk perisian Office 2019 pula, ianya dijual pada harga RM1,399.00 untuk satu lesen.
Bagi yang memang kerjanya memang wajib gunakan perisian Office, mungkin harganya boleh dianggap agak berbaloi. Namun, untuk bagi kebanyakan pengguna yang sekadar menaip sekeping-dua surat setahun, atau sekadar untuk menyiapkan kertas kerja last minute, harga ini adalah terlalu tinggi.
Anda mungkin boleh mencuba perisian produktiviti lain yang percuma seperti LibreOffice atau Google Docs. Tetapi, memandangkan kebanyakan pengguna sudah terbiasa dengan perisian Microsoft Office seperti Word, Excel dan Power Point, menggunakan perisian lain yang antaramukanya sedikit berbeza mungkin mendatangkan kecanggungan sungguhpun fungsi yang ditawarkan adalah sama.
Bagaimanapun, anda mungkin boleh menarik nafas lega memandangkan Microsoft telah menawarkan perisian Office versi web secara percuma melalui Office.com. Antaramuka yang ditawarkan melalui versi web ini mirip dengan antaramuka Office yang biasa anda gunakan. Cuma, versi web ini adalah versi online dan anda perlu mempunyai akses ke internet untuk menggunakannya.
Isi Kandungan
Office.com: Microsoft Office versi percuma yang anda perlukan
Fungsi Office berasaskan web ini bukanlah baru diperkenalkan. Ianya telah pertama kali diperkenalkan sejak tahun 2010 apabila Microsoft menambahkan fungsi “Office Web Apps” ke Skydrive, perkhidmatan storan atas talian dari Microsoft. Ia berfungsi dengan baik pada waktu itu, cuma ianya ‘agak tersembunyi’ di sebalik fungsi-fungsi lain di dalamnya.
Namun, sebaik sahaja Skydrive dijenamakan semula sebagai OneDrive, ‘Office Web Apps’ berkenaan telah “dibebaskan” menjadi Office Online, lengkap dengan antaramuka mirip Office 2013 pada masa itu.
Sebelum kita pergi dengan lebih lanjut, perlu diingatkan sekali lagi aplikasi Office ini merupakan aplikasi berasaskan web. Ianya tidak boleh dipasang pada komputer anda sebagaimana perisian Office biasa.
Selain itu, ianya tidak boleh digunakan tanpa akses internet. Namun, hal ini tidak mendatangkan masalah memandangkan pelan internet mudah alih kini boleh diperoleh pada harga yang rendah mengikut kesesuaian bajet pengguna.
Mewujudkan ‘New Document’ pada Word, Excel dan Power Point menerusi Office.com
Untuk menggunakan Office ini secara percuma, pengguna hanya perlu membuka pautan Office.com menerusi pelayar web. Seterusnya anda dikehendaki untuk log masuk menggunakan akaun Microsoft jika anda pernah menggunakan perkhidmatan Microsoft sebelum ini. Atau anda boleh mendaftarkan akaun Microsoft baru untuk terus menggunakannya.
Kemudian selepas berjaya log masuk, anda boleh memilih aplikasi-aplikasi yang ingin anda gunakan. Di dalamnya terdapat aplikasi-aplikasi produktiviti seperti Word, Excel, PowerPoint, dan OneNote.
Anda boleh terus pergi ke ikon Word untuk mencuba membuka dokumen baru Word secara online. Selain dokumen kosong, turut disediakan templat-templat untuk memudahkan pengguna mewujudkan dokumen baru sepertimana penggunaannya pada versi biasa.
Selain dari itu, bagi anda yang melakukan penyegerakan dengan Microsoft OneDrive, fail-fail anda ini akan dapat dibuka dan disunting menerusi aplikasi-aplikasi Office versi mudah alih pada telefon-telefon bimbit anda. Fail tersebut juga boleh dibuka pada peranti lain melalui aplikasi OneDrive. Apa yang anda perlukan hanyalah melog masuk ke akaun Microsoft anda.
Fungsi-fungsi asas lain masih lagi boleh digunakan sama seperti biasa. Namun, untuk fungsi yang lebih terperinci dan rumit, pengguna perlu menggunakannya melalui perisian Office biasa atau anda boleh terus melanggan Microsoft 365 melalui butang ‘Go Premium’
Baca lebih lanjut mengenai pemasangan Microsoft 365 atau Microsoft Office 2019 pada peranti anda.
Kesimpulan
Bagi anda yang ingin mendapatkan Microsoft Office tanpa perlu membayar, anda mungkin tidak memerlukan fungsi-fungsi lain yang canggih pada Microsoft Office. Apa yang ditawarkan oleh Office.com sudah memadai.
Mungkin, lain kali apabila anda ingin membuat dokumen baru atau menyunting dokumen Word dari rakan sekerja anda, cuba gunakan fungsi-fungsi yang disediakan oleh Office.com ini. Diharapkan ianya dapat membantu anda di waktu-waktu kesulitan.