Bermula Ogos 2021, Google mewajibkan kesemua aplikasi baharu di dalam Play Store menggunakan format baharu Android App Bundles (.aab) menggantikan format semasa, Android Package (.apk).
Pelaksanaan ini akan menjadikan fail-fail aplikasi bersaiz lebih kecil dan akan memanfaatkan kesemua pengguna Android.
Namun begitu, langkah ini akan menyebabkan pembangun-pembangun aplikasi terpaksa mengeluarkan aplikasi versi APK masing-masing dari Google Play Store.
Sepanjang tempoh Android diperkenalkan untuk kegunaan umum, aplikasi Android dihasilkan di dalam format APK. Bagaimanapun, pada tahun 2018 Google telah memperkenalkan format baharu yang dikenali sebagai Android App Bundles atau AAB.
Menurut Google, format baharu ini akan menjadikan saiz aplikasi lebih kecil dan lebih mudah untuk dipantau. Dari jutaan aplikasi di Google Play Store, ribuan daripadanya sudah pun menggunakan sistem AAB.
Melalui pengumuman yang dibuat pada hari ini, format AAB secara rasminya akan menggantikan format APK di Google Play Store bermula Ogos tahun ini.
Aplikasi baharu yang akan memohon untuk ditempatkan ke dalam Google Play Store diwajibkan untuk dihantar dalam format AAB. Bagaimanapun, bagi aplikasi sedia ada yang berformat APK, masih lagi boleh dikekalkan di dalam format APK buat masa ini.
Sungguhpun fail-fail berformat AAB ini lebih kecil saiznya, ianya mungkin akan menimbulkan sedikit kesukaran buat pembangun yang ingin menyediakan aplikasinya ke platform lain seperti Amazon App Store atau Huawei App Gallery.