ByteDance, syarikat induk aplikasi media sosial TikTok telah menolak pelawaan Microsoft memiliki operasinya di Amerika Syarikat. Pengumuman ini telah dikeluarkan oleh Microsoft menerusi kenyataan ringkas mengenai pengambilalihan ini.
Dalam perkembangan yang sama, ByteDance turut dilaporkan sedang ke arah jalinan usahasama dengan sebuah lagi firma dari A.S., Oracle. Bagaimanapun, perkara ini masih lagi belum disahkan melalui kenyataan rasmi oleh kedua-dua pihak.
Microsoft menerusi pengumuman berkenaan tidak menyatakan secara terperinci punca mengapa ByteDance menarik diri dari cadangan usahasama berkenaan. Desas-desus mengatakan ia berpunca dari ByteDance enggan menjual algoritma miliknya kepada Microsoft.
Pembatalan ini juga hadir dalam waktu yang amat suntuk menjelang tarikh akhir 15 September yang telah ditetapkan oleh Presiden A.S. Donald Trump pada asalnya. TikTok telah diarahkan untuk menjual bahagian operasinya di Amerika Syarikat sebelum tarikh berkenaan bagi mengelakkan dari ditutup.
Bagaimanapun, pentadbiran Donald Trump telah melanjutkan tarikh berkenaan kepada 12 November bagi mendapatkan lebih ramai pembeli yang berpotensi di Amerika Syarikat.