Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN Perlis) sedang merancang untuk memperkenalkan sistem pembayaran nirtunai di sekolah-sekolah di seluruh negeri Perlis pada tahun ini.
Sistem berkenaan membolehkan pelajar-pelajar melakukan pembayaran dengan lebih lancar di kantin dan juga kedai koperasi. Turut ditambah, ciri imbasan untuk pengesahan kehadiran dan meminjam buku dari pusat sumber turut disediakan pada sistem berkenaan.
Menjelang pelaksanaannya, JPN Perlis telah menganjurkan satu simposium untuk membincangkan sistem nirtunai tersebut. Sistem ini akan melibatkan sebilangan pembekal termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN). Menerusi pembentangannya, bank berkenaan memaklumkan pihaknya kini sedang mengusahakan penggunaan peranti boleh pakai untuk program Sekolah Nirtunainya.
Program yang sudah diperkenalkan sejak 2019 ini akan membolehkan sekolah mewujudkan akaun simpanan BSN Giro-i untuk pelajar-pelajar berusia dari 13 tahun dan ke atas. Para pelajar akan disediakan dengan kad debit Visa bersokongan payWave dan seutas gelang boleh pakai yang menyokong pembayaran nirtunai melalui akaun simpanan yang dihubungkan.
Ibu bapa juga boleh melakukan deposit tunai secara nirwayar ke akaun pelajar terbabit dari mana-aman akaun bank. Selain itu, ibu bapa berkenaan juga boleh menetapkan had perbelanjaan harian bagi akaun anak masing-masing. Para ibu bapa juga boleh memantau perbelanjaan anak-anak melalui rekod transaksi di dalam sistem MyBSN.
Untuk tujuan keselamatan, BSN tidak menyatakan protokol pengesahan yang digunakan pada peranti boleh pakai berkenaan ketika pembayaran dibuat. Pun begitu, pihak BSN menjamin segala transaksi yang meragukan akan dapat dikenalpasti.
Peniaga-peniaga yang menjalankan aktiviti disekolah seperti peniaga kedai koperasi atau pengusaha kantin boleh memohon terminal pembayaran dari BSN jika berminat untuk menerima pembayaran nirtunai.
Pihak BSN tidak memaklumkan bilakah kaedah penggunaan pembayaran nirtunai melalui peranti boleh pakai ini akan dilaksanakan setakat ini.