Utama Perbankan Kerjasama Strategik antara AEON Bank dan Visa memangkin Transformasi Pembayaran Digital

Kerjasama Strategik antara AEON Bank dan Visa memangkin Transformasi Pembayaran Digital

196
0

AEON Bank, bank digital Islamik pertama di Malaysia berbesar hati mengumumkan kerjasama strategik bersama Visa, peneraju global dalam pembayaran digital. Sinergi tersebut merupakan pemacu terhadap komitmen kedua-dua pihak demi memangkin pengalaman para pengguna tempatan dalam pembayaran digital dan transaksi tanpa tunai di Malaysia.

Kerjasama tersebut bakal bermula dengan pelancaran Kad Debit-i AEON Bank x Visa dan kelak akan diperluaskan dengan pelbagai kemudahan penyelesaian pembayaran digital, sejajar dengan kecenderungan yang semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia terhadap transaksi tanpa tunai yang selamat dan boleh dipercayai, serta penyelesaian perbankan digital yang mematuhi prinsip perbankan Syariah.

“Pada umumnya, AEON dan Visa telah lama menjalinkan kerjasama yang berimpak tinggi. Oleh itu, AEON Bank amat teruja untuk berkolaborasi dengan Visa serta mengoptimumkan kepakaran inovatif mereka dalam menawarkan penyelesaian perbankan yang selamat, mudah diakses serta praktikal demi memenuhi permintaan pengguna di Malaysia. Kerjasama ini akan membolehkan para pelanggan menikmati pelbagai kelebihan menerusi rangkaian luas kedai dan rakan kongsi Visa, di samping menawarkan penyelesaian patuh Syariah kepada rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat,” kata Raja Teh Maimunah, Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank (M) Berhad. 

Visa mengalu-alukan kolaborasi baharu ini bersama bank digital seperti AEON Bank, khususnya kerana ianya menggabungkan pengalaman global Visa dalam teknologi pembayaran digital yang menyeluruh dengan ekosistem runcit dan kewangan AEON Group yang meluas, meliputi pangkalan data pelanggan yang ekstensif,  lantas mendorong integrasi penyelesaian pembayaran digital yang lancar dan bertambah nilai demi  memenuhi keperluan para pengguna masa kini yang merentasi landskap rangkaian pelbagai (omnichannel).

“Industri pembayaran, permintaan para pengguna dan teknologi pembayaran kini semakin berkembang pesat. Justeru itu Visa amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan AEON Bank menerusi kerjasama strategik ini yang  membolehkan kami berkembang selari dengan landskap komersil yang sentiasa berubah. Dengan membangunkan produk dan penyelesaian generasi akan datang (next gen) yang melangkaui masa, di samping berusaha ke arah mencapai matlamat kami untuk meningkatkan kehidupan para pengguna di mana sahaja, kami amat berbangga dapat menyokong fasa pertumbuhan baharu buat AEON Bank dan membawa perubahan dalam cara rakyat Malaysia membuat pembayaran serta menerima bayaran,” ujar Ng Kong Boon, Pengurus Negara Visa Malaysia.

Eksklusif sempena pelancaran rasmi AEON Bank, pemegang Kad Debit-i AEON Bank x Visa layak menikmati ganjaran menarik dan bonus pendaftaran sepanjang tempoh kempen.

AEON Bank adalah sebahagian daripada AEON Group iaitu salah satu jenama isi rumah yang paling dikenali di Malaysia. AEON Group telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian para pengguna tempatan dan ia telah mengorak sejarah selama  lebih empat dekad di Malaysia serta lebih daripada 200 tahun di negara Jepun. Dengan penubuhan AEON Bank (M) Berhad sebagai bank digital Islamik pertama di Malaysia, ia komited untuk menawarkan perkhidmatan kewangan yang boleh mudah akses oleh rakyat Malaysia,  termasuk golongan yang termarginalisasi dan mereka yang sebelum ini sukar untuk menerima perkhidmatan perbankan. Usaha tersebut diharap mampu memperkasakan masyarakat dalam  mengejar aspirasi mereka untuk mencapai ketakbersandaran ekonomi, serta memangkin masa depan kewangan yang lebih inklusif untuk semua.

Untuk maklumat lanjut mengenai AEON Bank dan Visa, layari media sosial AEONBankMY atau laman web AEON Bank dan Visa.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.