AEON Bank secara rasminya telah dilancarkan sebagai bank digital Islamik pertama di Malaysia dan juga sebagai bank digital kedua yang ditawarkan kepada orang ramai. Sama seperti pesaingnya GX Bank, bank digital patuh shariah ini menawarkan kad debit percuma kepada penggunanya serta kadar keuntungan menarik untuk deposit anda.
Untuk membuka akaun AEON Bank, anda perlu mempunyai akaun bank tradisional dan mendepositkan sekurang-kurangnya RM20 ke dalam akaun baharu AEON Bank untuk mengaktifkannya.
Nilai amaun RM20 juga merupakan nilai minimum yang diperlukan untuk membolehkan akaun tersebut digunakan. Jika anda berhasrat untuk menutup akaun AEON Bank dalam tempoh tiga bulan selepas pembukaan, aplikasi tersebut tidak akan memulangkan RM20 tersebut sebagai bayaran penutupan.
Sokongan DuitNow
Ketika dilancarkan, bank digital berkenaan telah pun menyokong pemindahan DuitNow dan juga pembayaran QR DuitNow. Selain itu, ia juga menawarkan tabung simpanan untuk anda mengasingkan wang anda dengan pilihan untuk isian semula automatik.
Sama ada anda ingin menyimpan wang di dalam akaun-i simpanan atau tabung simpanan, aplikasi tersebut menawarkan kadar keuntungan tahunan 3.88% dengan keuntungan dimasukkan secara bulanan. Bagaimanapun, kadar tersebut diberikan bersempena kempen pelancarannya dan tidak dapat dipastikan jika kadar tersebut berubah selepas tempoh kempen tersebut tamat.
Pengguna yang mendaftarkan akaun AEON Bank bersempena kempen pelancaran bermula dari sekarang sehingga 31 Ogos 2024 juga berpelung menerima 3,000 mata AEON. Anda juga boleh mendapatkan kad debit VISA secara percuma dalam bentuk digital dan fizikal.
Melaluinya juga anda boleh mendapatkan tiga mata ganjaran AEON bagi setiap RM1 yang dibelanjakan dan boleh menukarkan mata ganjaran tersebut kepada wang tunai. Pengeluaran tunai juga boleh dibuat melalui ATM dengan kadar RM1 untuk MEPS akan dikenakan bagi setiap pengeluaran.
Lain-lain tawaran menarik di dalam kempen pelancarannya termasuklah pengecualian yuran keahlian setahun untuk program mata ganjarannya. Bagi anda yang sudah menjadi ahli AEON, akaun keahlian tersebut akan dihubungkan dengan AEON Bank secara automatik.
Maklumat lanjut, layari laman web rasmi AEON Bank.