Agensi perlindungan hak-hak pengguna di negeri Sao Paolo, Brazil telah mendenda Apple R$ 10,546,442.48 (~RM 7.8 juta) kerana menjual iPhone 12 tanpa pengecas, lapor laman 9to5 Mac.

Procon-SP mendapati Apple telah bersalah tidak menyertakan pengecas seperti yang termaktub di dalam undang-undang hak pengguna bandaraya Sao Paolo.

Oktober lalu, Apple telah mengumumkan penjualan iPhone 12 tidak akan didatangkan bersama-sama pengecas dan putik telinga atas alasan komitmen mengurangkan pencemaran elektronik. Hanya kabel USB-C ke Lightning sahaja disediakan bagi setiap penjualan iPhone 12 dan model-model lain yang lebih terkini.

Bagaimanapun, tindakan ini dilihat oleh sesetengah pihak sebagai salah satu cara untuk Apple mengurangkan kos penghantaran selain pakar alam sekitar turut menyatakan kesan terhadap alam sekitar dari langkah Apple ini amat minimum.

Procon turut meminta Apple untuk mengurangkan harga iPhone 12 memandangkan tiada pengecas disertakan bersama, namun masih tidak menerima maklum balas. Agensi berkenaan juga turut mendakwa Apple gagal membantu penggunanya yang berhadapan dengan sesetengah masalah yang berpunca dari kemaskininya. Jurucakap agensi terbabit turut mengingatkan Apple supaya “menghormati undang-undang dan institusinya”.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.