Genting Property Sdn Bhd telah melancarkan Bandar Pintar Teknologi Johor (Johor Tech Smart City). Projek pembangunan bersepadu seluas 2,300 ekar tersebut terletak di dalam kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di Kulai, Johor.

Nilai pembangunan kasar (GDV) projek tersebut pula dianggarkan sebanyak RM80 bilion. Ia dijangka bakal mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan baharu.

Majlis pelancaran projek ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bersama-sama dengan Pengerusi Eksekutif Genting Bhd, Tan Sri Lim Kok Thay.

Pembangunan ini diterajui oleh Genting Property, cabang hartanah dan anak syarikat milik penuh Genting Plantations Bhd, dengan kerjasama anak syarikat teknologi pertaniannya iaitu ACGT Sdn Bhd.

Ekosistem Dipacu Teknologi dan Pertanian

Bandar Pintar Teknologi Johor dirancang sebagai sebuah ekosistem yang dipacu oleh teknologi dan pertanian moden. Projek ini merangkumi dua zon utama iaitu Kampus AgTech (Teknologi Pertanian) seluas 500 ekar dan Kampus Kecerdasan Buatan (AI) Pengetahuan seluas 1,700 ekar.

Matlamat utama pembangunan ini adalah untuk menggabungkan amalan perladangan pintar, teknologi Kecerdasan Buatan (AI), infrastruktur bertaraf dunia, dan perancangan bandar mampan di dalam satu pelan induk bersepadu .

Menurut Ketua Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Genting Plantations, Datuk Indera Lim Keong Hui, projek ini merupakan satu pelaburan yang sangat penting bagi menyokong pertumbuhan masa depan negeri Johor.

“Bandar Pintar Teknologi Johor mencerminkan komitmen jangka panjang kami untuk melabur di dalam pembangunan transformatif yang mampu mencipta nilai yang mampan untuk negeri serta negara,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, pembangunan ini menggabungkan kepenggunaan dan pengalaman Genting Property dalam pembinaan perbandaran, disokong oleh kepakaran teknologi pertanian ACGT dan rangkaian rakan kongsi global demi memperkasakan ekosistem inovasi dan persediaan masa hadapan ekonomi Johor.

Kampus AgTech dan Inovasi Sekuriti Makanan

Kampus AgTech dijangka memfokuskan kepada kelestarian sekuriti makanan dan inovasi teknologi pertanian melalui tiga komponen teras:

  • SEEDS: Pusat yang akan menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) khusus untuk tanaman dan penambahbaikan kualiti benih.
  • SUPERFARMS: Sebuah platform penanaman pintar dan sistem pengeluaran hasil tanaman berskala besar.
  • SPROUT: Hab komersial dan gaya hidup harian yang akan menawarkan pengalaman dari-ladang-ke-meja (farm-to-table), pelancongan berteraskan pendidikan, serta ruang untuk penganjuran persidangan antarabangsa.

Kampus AI Pengetahuan dan Infrastruktur Mampan

Bagi Kampus AI Pengetahuan, ia bakal menempatkan sebuah hab inovasi seluas 430 ekar yang direka berdasarkan pelan tindakan pembangunan syarikat teknologi telekomunikasi gergasi, Huawei . Hab ini akan menyepadukan komponen kediaman, pusat rekreasi, dan kemudahan kesejahteraan.

Menariknya, pembangunan ini juga akan merangkumi pembinaan sebuah ladang solar khusus berkeluasan 100 ekar bagi menampung keperluan penjanaan tenaga hijau untuk bandar pintar tersebut.

Datuk Onn Hafiz menyatakan pelancaran projek ini adalah bukti kukuh usaha berterusan negeri Johor dalam membina ekosistem ekonomi yang kompetitif, berasaskan inovasi dan mampan.

Beliau menyifatkan Bandar Pintar Teknologi Johor sebagai contoh terbaik hasil daripada kerjasama awam-swasta yang utuh serta perkongsian matlamat jangka panjang untuk pembangunan negeri.

Menteri Besar turut memaklumkan media pelan tindakan bagi penubuhan JS-SEZ masih berada di peringkat penyelarasan akhir dan dijangka akan ditandatangani secara rasmi oleh wakil kerajaan Malaysia dan Singapura menjelang akhir tahun ini.

Bagi memastikan kelancaran dan standard teknikal tertinggi, Genting Property dan ACGT telah menjalin perkongsian strategik dengan beberapa firma teknologi serta perancangan antarabangsa.

Ini termasuklah pihak Huawei, firma seni bina dan perancangan bandar B+H dan Surbana Jurong, di samping syarikat-syarikat peneraju teknologi pertanian seperti China Shouguang Vegetable Industry Group, DAYU Irrigation, XAG, dan AIRSAT.

Selain daripada inisiatif terbaharu ini, Genting Property juga pada masa ini sedang rancak membangunkan dua lagi projek hartanah utama di Johor, iaitu perbandaran Genting Indahpura di Kulai dan Genting Pura Kencana yang terletak di Batu Pahat.

Tinggalkan komentar