VPN dan Incognito Mode adalah antara alatan yang popular digunakan bagi tujuan privasi di dalam talian.VPN boleh membuatkan diri anda sukar dijejaki apabila melayari. Manakala Incognito Modes pula menyediakan pelayar kosong yang tidak menyimpan jejak sejarah penggunaan.

Apa itu Incognito Mode?

Pelayaran persendirian mempunyai pelbagai nama, misalnya bagi pelayar Microsoft Edge ia dinamakan sebagai InPrivate, manakala bagi Google Chrome pula namanya adalah Incognito Mode.

Mod ini disediakan bagi menjadikan pelayar internet anda tidak ‘mengingati’ apa-apa buat sementara waktu. Di dalam mod ini, pelayar tidak akan menyimpan data seperti alamat, cookies, dan sebagainya yang berkaitan dengan halaman-halaman yang anda kunjungi.

Selain itu, mod ini akan membuka pelayar baharu yang ‘kosong’ tanpa sebarang cookies. Misalnya, jika anda melog masuk ke Facebook melalui tetingkap pelayar biasa anda, dan pada masa yang sama anda membuka tetingkap pelayar lain di dalam Incognito Mode, Facebook tidak akan melihat anda sedang log masuk pada tetingkap Incognito Mode tadi.

Apabila anda melayari di dalam Incognito Mode, segala apa yang anda lakukan tidak akan disimpan oleh pelayar anda dan ianya akan terus dipadamkan sebaik sahaja anda menutup tetingkapnya.

Bagaimanapun, laman-laman yang anda kunjungi masih lagi dapat melihat alamat IP anda, serta penyedia perkhidmatan internet (ISP) dan pentadbir sistem di tempat kerja anda masih tahu aktiviti anda di dalam Incognito Mode tersebut. Secara ringkasnya, penggunaan mod ini tidak menjadikan anda awanama (anonymous) di dalam talian.

Apa itu VPN?

Aktiviti dalam internet anda boleh dikesan sebagai awanama melalui penggunaan VPN. Apabila anda bersambung ke VPN, ia akan menyambung ke internet menggunakan pelayan persendirian dan ianya akan menunjukkan pelayan berkenaan yang sedang mengakses ke laman web berkenaan, dan bukannya diri anda. Makna kata, laman web yang anda akses tidak dapat melihat alamat IP anda yang sebenar dan hanya melihat alamat IP VPN berkenaan.

Kaedah ini dapat meningkatkan keseluruhan privasi pengguna ketika melayari disamping dapat mengolok-olokkan lokasi anda dengan lokasi pelayan VPN terbabit. Laman web berkenaan akan melihat anda melayari dari kawasan pelayan VPN berkenaan dan bukan lokasi fizikal anda. Ini juga dapat digunakan bagi melepasi batasan rantau seperti mengakses ke kandungan khusus Netflix di negara-negara lain, misalnya.

Kesemuanya ini menjadikan penggunaan VPN amat popular bagi kalangan pengguna internet yang inginkan privasi mereka lebih terjamin ketika di alam maya.

Kerenggangan Keselamatan VPN

VPN berfungsi dengan melencongkan anda melalui sambungan berenkripsi yang dikenali sebagai terowong selamat (secure tunnel). Bagi ISP dan pentadbir rangkaian anda bagaimanapun masih dapat melihat anda menyambungkan ke pelayar di luar (VPN tersebut), tetapi tidak dapat melihat laman web apa yang anda buka. Proses ini dapat dilaksanakan kerana terowong-terowong tersebut secara amnya menggunakan enkripsi hujung-ke-hujung.

Pun begitu, penggunaan VPN tidak menjamin anda awanama sepenuhnya. Walaupun sambungan anda dapat ditutup, jika anda masih lagi mendaftar masuk ke akaun sosial media (Facebook, Twitter, etc) atau akaun Google, anda masih lagi boleh dijejaki. Google masih lagi tahu anda siapa, malah cookies yang disimpan di dalam pelayar juga boleh digunakan untuk menjejak anda.

Dalam pada masa yang sama, perkhidmatan VPN yang anda gunakan juga boleh melihat segala aktiviti anda ketika sedang aktif. Cuma, kebanyakan VPN menjanjikan akan memadamkan log-log sambungan yang dilakukan secara kerap. Ini biasanya diiklankan sebagai polisi “no-logs” dan di atas kertas, VPN berkenaan tidak merekodkan aktiviti anda. Selain itu, ianya juga tidak boleh dikongsikan dengan ISP, pengiklan, badan penguatkuasa atau mana-mana pihak.

Secara praktisnya, tidak semua VPN mengamalkan prinsip yang sama. Misalnya pada 2017, PureVPN telah membantu FBI menangkap pengintai siber dengan memberi log alamat IP si pelaku berkenaan. Bagaimanapun, ini semua bergantung kepada niat sebenar anda menggunakan khidmat VPN tersebut. Anda tidak perlu bimbang mengenai identiti anda jika tidak melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang dan moral.

Menggunakan VPN bersama-sama Incognito Mode

Sungguhpun VPN dan Incognito Mode secara amnya tidak berkongsikan fungsi yang sama, ianya dapat digunakan bersama-sama. Banyak kerenggangan keselamatan pada VPN dapat ditutupi melalui Incognito Mode, dan begitu juga kelemahan pada Incognito Mode diatasi pula oleh VPN.

Gabungan kedua-duanya membolehkan anda tidak dikesan melalui akaun media sosial atau Google dan pada masa yang sama membuatkan ISP dan pentadbir rangkaian anda tidak dapat menjejak aktiviti anda semasa dalam talian.

Walau apa jua aktiviti yang anda lakukan di dalam talian, anda perlu mengetahui sebarang risiko dan tanggungjawab anda sebagai seorang individu. Justeru, kita perlu bersama-sama mewujudkan persekitaran internet yang lebih selamat dan bebas melalui tanggungjawab kita.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.