Apple telah mengemaskini Boot Camp untuk membolehkannya menyokong Windows 10, dua minggu selepas Microsoft melancarkan sistem operasi tersebut. Boot Camp merupakan sebuah utiliti yang membenarkan Windows dioperasikan pada Mac.
Menurut Apple, buat masa ini hanya Windows 10 versi 64-bit sahaja yang disokong. Selain itu, Windows 10 dalan Boot Camp hanya boleh digunakan pada Mac yang dioperasikan OS X Yosemite, termasuklah sistem-sistem Mac yang telah hadir ke pasaran sejak dari tahun 2012 lagi.
Apple juga mengingatkan para penggunanya bahawa Boot Camp hanya boleh digunakan pada Mac yang dikuasakan oleh pemprosesan Intel.
Bagi pengguna yang berminat untuk menggunakan Windows 10 melalui Boot Camp, anda perlu mendapatkan fail ISO sistem operasi berkenaan. Apple turut menyediakan panduan bagaimana untuk menyediakannya.
Boot Camp membolehkan pengguna menggunakan Windows pada Mac dengan melakukan partitioning pada hardisk komputer. Seterusnya, pengguna diberikan pilihan sistem operasi yang ada semasa Mac mula di bootkan.
Pemasangan Boot Camp 6 membenarkan Windows 10 menggunapakai ciri unik perkakasan Mac, termasuklah USB-C dan Thunderbolt. Malah slot terbina dalam pada Mac seperti slot kad SD dan Apple SuperDrive USB juga turut disokong.
Dokumen berkenaan turut menyatakan bagaimana cara untuk memasang versi terbaru sistem operasi Windows, Windows 10 disamping kemaskini Windows versi terdahulu, baik 32-bit atau 64-bit.
-Imej cover diperoleh dari iMac Time