Sebuah aplikasi pengimbas kod bar popular dengan lebih 10 juta muat turun di Google Play Store telah didapati menjangkiti peranti Android dengan malware.
Aplikasi yang dikenali sebagai ‘Barcode Scanner’ telah pun dialih keluar dari Play Store. Namun ada kemungkinan ianya masih lagi menjangkiti peranti-peranti yang telah dipasangkan dengan aplikasi berkenaan.
Sama seperti nama yang digunakannya, aplikasi Barcode Scanner digunakan untuk mengimbas kod bar dan juga kod QR.
Berdasarkan penemuan oleh kumpulan pakar penyelidik keselamatan di Malwarebytes, aplikasi berkenaan telah disuntik dengan kod hasad melalui kemaskini terakhirnya pada Disember tahun lalu. Sebelum ini, aplikasi berkenaan bebeas dari sebarang kod-kod hasad yang merbahaya.
Menurut kumpulan penyelidik berkenaan, kod hasad tersebut dapat melepasi perkhidmatan Google Play Protect dengan menandatangan persijilan digital yang sama dengan versinya terdahulu. Justeru, mengesahkannya ianya hadir dari pembangun yang sama iaitu LavaBird LTD.
Beberapa minit selepas pemasangan aplikasi berkenaan yang dikemaskini dengan kod hasad tersebut, pengguna dihujani dengan adware dan dihalakan secara automatik ke laman-laman web yang diragui.
Pihak Malwarebytes telah dimaklumkan oleh Google bahawa aplikasi tersebut telah pun dialih keluar dari Play Store. Setakat ini Google masih lagi belum menggunakan alatan Play Protect untuk memaklumkan pengguna yang masih lagi memasang aplikasi tersebut pada peranti. Oleh itu, pengguna dinasihatkan supaya menyahpasang sendiri aplikasi Barcode Scanner tersebut.
Bagi anda telah memasang aplikasi Barcode Scanner dan mendapati peranti anda berlaku aneh, anda boleh menyahpasangnya dengan pergi ke tetapan aplikasi. Menerusinya, anda carikan nama pakej aplikasi berkenaan ‘com.qrcodescanner.barcodescanner‘ dan nyahpasangnya segera.