Pemprosesan Intel Generasi ke-12 Alder Lake dan cipsetnya, Z690 merupakan produk pertama yang secara rasminya memperkenalkan standard memori DDR5 baharu. Bagaimanapun, di dalam keadaan kekurangan bekalan cip yang meruncing ini, menyukarkan mana-mana pengguna yang ingin menaik taraf sistem komputer masing-masing.
Atas sebab itu, ASUS dilihat sedang mengusahakan langkah penyelesaian bagi isu ini dengan memperkenalkan adapter RAM DDR5. Tujuannya adalah bagi membolehkan modul RAM DDR4 dipasangkan pada slot RAM DDR5.
Adapter ini bagaimanapun masih lagi diperingkat pembangunan. Tidak seperti RAM DDR5 sebenar, modul RAM DDR4 yang dipasangkan dengan adapter tersebut tidak mempunyai pengawal papan induk khusus untuknya.
Bukan itu sahaja, adapter berkenaan juga dilihat terlalu tinggi dan mungkin berhadapan dengan masalah untuk memuatkannya ke dalam kerangka sesebuah PC desktop kelak.
Ini bukanlah kali pertama ASUS memperkenalkan langkah penyelesaian kreatif khusus untuk peminatnya. Tidak dapat dipastikan sama ada solusi ini akan menemui pengguna dalam masa yang terdekat atau sekadar sepi tanpa sebarang khabar berita.