Utama Laptop Samsung Samsung Galaxy S21 FE diperkenalkan secara rasminya; Hadir dengan Exynos 2100

Samsung Galaxy S21 FE diperkenalkan secara rasminya; Hadir dengan Exynos 2100

432
0

Samsung Galaxy S21 FE (Fan Edition) kini secara rasminya telah diperkenalkan dan hadir sebagai model paling mampu milik di dalam siri Galaxy S21. Sama seperti Galaxy S20 FE yang diperkenalkan sebelum ini, ‘Edisi Peminat’ ini memfokuskan pada penawaran telefon pintar mercu pada harga yang lebih rendah.

Terdapat dua varian bagi telefon pintar ini ditawarkan bagi pasaran Malaysia iaitu:

  • Samsung Galaxy S21 FE RAM 8GB + storan 128GB – RM2,899
  • Samsung Galaxy S21 FE RAM 8GB + storan 256GB – RM3,099

Setakat ini Samsung Malaysia masih lagi belum membuka pra-tempahan bagi model telefon pintar ini. Dijangkakan lebih banyak perincian mengenainya akan didedahkan pada petang esok.

Sebagai perbandingan, Galaxy S21 5G 256GB dengan paparan 6.2″-inci dijual pada harga RM3,199. Manakala Galaxy S20 FE 5G 256GB pula harganya pada ketika ini adalah RM2,499.

Spesifikasi Samsung Galaxy S21 FE

Tidak seperti Galaxy S20 FE yang menggunakan Snapdragon pada tahun lepas, Galaxy S21 FE dilengkapkan dengan cipset keluaran Samsung, Exynos 2100. Cipset Exynos jenis ini juga digunakan pada Galaxy S21, S21+ dan S21 Ultra bagi pasaran Malaysia.

Pada bahagian hadapannya, telefon pintar ini hadir dengan paparan AMOLED Full HD+ 6.4-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Saiz ini sedikit kecil berbanding S20 FE yang berukuran 6.5-inci. Untuk saiz memori dan storannya pula, telefon Samsung terbaru keluaran 2022 ini didatangkan dengan RAM 8GB dan pilihan storan sama 128GB atau 256GB. Slot kad mikroSD bagaimanapun tidak disediakan di dalam model ini.

Untuk kameranya, telefon ini menyediakan tetapan tri-kamera yang mengandungi kamera utama dwi-piksel AF 12MP dengan OIS, kamera ultra-lebar 12MP dan kamera telefoto 8MP yang menyokong zum sehingga 30X. Turut disediakan kamera hadapan 32MP yang ditempatkan pada paparan berpenebuk lubang di sebelah atasnya.

Menguasakan telefon ini adalah bateri berkapasiti 4,500mAh yang tidak berubah dari keluaran sebelumnya. Serta ia juga menyokong pengecasan pantas 25W secara berwayar melalui USB-C. Turut disediakan sokongan pengecasan secara nirwayar, Wireless PowerShare yang boleh mengecaskan peranti lain secara nirwayar.

Sebagai salah satu usaha ke arah bumi hijau, pengecas tidak disediakan bersama-sama pembelian Samsung Galaxy S21 FE dan hanya satu kabel USB-C dan pin penolak dulang SIM disediaka.

Kesemua varian Samsung Galaxy S21 FE menyokong 5G dan juga WiFi 6. Selain itu, seperti yang terdapat pada mana-mana peranti mercu, telefon ini juga mempunyai penarafan IP68 bagi kerintangan debu dan air. Ia juga mempunyai pembesar suara stereo dan juga sokongan Samsung Pay melalui NFC. Untuk antaramukanya, telefon ini menggunakan One UI 4 yang berasaskan Android 12.

Maklumat lanjut, layari Samsung Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.