Astro Connected HD Box

Astro dilaporkan sedang merancang untuk mengumumkan platform penstriman baharunya tidak berapa lama lagi. Penyiar televisyen satelit berbayar dan penerbit kandungan ini juga sedang berusaha menjalinkan usahasama dengan 15 penyedia perkhidmatan penstriman pihak ketiga untuk tempoh selama dua tahun berikutnya.

Menurut laporan dari ContentAsia, Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan memakluman menerusi satu sesi di APOS 2021 mengenai butiran selanjutnya akan diumumkan secara rasmi pada Mei 2021. Melalui keutamaan kepada kandungan tempatan dan sukan, Astro mensasarkan perkhidmatan baharu kepada golongan muda terutamanya para belia millenial.

Perkhidmatan ini dikatakan akan menggunakan model perniagaan freemium dan mempunyai hala tuju jenama yang jauh berbeza dengan Astro. Berdasarkan laporan dari ContentAsia, perkhidmatan ini akan dikenali sebagai Sooka.

Mengenai usahasama dengan rakan penstriman pihak ketiga, dikhabarkan ia adalah kesinambungan dari rakan niaga sedia ada seperti iQIYI dan HBO. Nama-nama lain tidak disebutkan lagi secara rasmi oleh Henry Tan, tetapi ContentAsia tidak menolak kemungkinan nama-nama besar lain seperti Disney+/Disney+ Hotstar, Discovery+, dan Netflix akan turut serta.

Usaha memperkenalkan perkhidmatan penstriman video dari Astro ini merupakan sesuatu yang baru dan berkemungkinan berdepan dengan cabaran besar berikutan saingan pasaran penstriman video masa kini yang kian sengit.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.