iOS 15

Apple sedang mempersiapkan untuk pengumuman kemaskini perisian untuk iPhone dan iPad pada Jun, menurut laporan dari Bloomberg. Kemaskini ini dikatakan akan membawakan kemaskini paling mustahak untuk Skrin Utama iPad sejak ianya pertama kali dilancarkan pada tahun 2010.

Versi baharu iOS dan iPadOS iaitu iOS 15 dan iPadOS 15 akan diumumkan di dalam acara Worldwide Developers Conference (WWDC) pada 7 Jun ini. Kemaskini iOS 14 pada tahun lepas diumumkan di dalam acara WWDC pada 22 Jun dan boleh dimuat turun bermula 16 September 2020 bersama-sama pelancaran iPhone 12.

Penambahbaikan baharu yang dijangkakan

Bloomberg melaporkan beberapa penambahbaikan yang dijangka akan dimasukkan menerusi kemaskini iOS 15 dan iPadOS berkenaan. Antaranya merangkumi:

  • Tapi notifikasi baharu berdasarkan status pengguna. Ia boleh diakses dari menu baharu dari Lock Screen dan Control Center, pengguna boleh mempunyai lebih kawalan bagaimana notifikasi dipaparkan (boleh mengeluarkan bunyi atau tidak, misalnya). Serta mengikut keadaan pengguna sama ada ketika sedang memandu, tidur, di tempat kerja, atau meletakkannya di dalam mod Do Not Disturb (DND).
  • Penambahbaikan skrin utama iPad. Ini turut melibatkan keupayaan menambah widget (diperkenalkan pada iOS tahun lepas). Bloomberg tidak menyatakan perincian selanjutnya, tetapi mendakwa ianya penambahbaikan terbesar dan mustahak pada skrin utama sejak iPad diperkenalkan.
  • Akses pantas ke data privasi. Menu baharu ini dilaporkan akan membenarkan pengguna melihat maklumat apa yang dikumpulkan oleh sesebuah aplikasi. Mungkin ianya diselaraskan dengan “label privasi” baharu yang diperkenalkan Apple di App Store pada Disember lalu.
  • Lock Screen iOS dikemaskini. Ini akan menyertakan akses ke menu privasi seperti yang dinyatakan di atas. Tidak dapat dipastikan sama ada terdapat perubahan-perubahan lain yang akan menyusul.
  • Penambahbaikan sosial untuk iMessage. Ciri baharu akan diperkenalkan bagi membolehkan iMessage menyaingi WhatsApp. Bagaimanapun, Bloomberg menyatakan ianya masih lagi diperingkat awal pembangunan dan mungkin akan diumumkan lewat tahun ini.
  • Kemaskini kecil untuk macOS, watchOS dan tvOS. Apple pada tahun lalu telah melancarkan rekaan semula besar-besaran macOS melalui Big Sur dan mungkin dijangkakan hanya perubahan kecil sahaja yang akan disertakan untuk tahun ini.

Setakat ini kebanyakan maklumat mengenai kemaskini perisian terbaru untuk peranti-peranti Apple ini lebih kepada desas-desus di kalangan media. Maklumat sahih mengenainya bakal kita peroleh menjelang acara WWDC berlangsung kelak.

Pada masa yang sama, iOS 14.5 dijadualkan akan hadir pada minggu hadapan dengan menampilkan sokongan penjejak item Apple AirTag baharu dan memperkenalkan podcast baharu dari Apple.

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.