HONOR telah melancarkan siri andalan baharunya, HONOR 600 dan HONOR 600 Pro secara rasmi di pasaran Malaysia. Telefon pintar ini memfokuskan kepada kemampuan kamera utama beresolusi 200 Megapiksel (MP).

Kedua-dua peranti ini hadir dengan paparan skrin rata AMOLED berukuran 6.57 inci. Ia menawarkan resolusi tinggi 2726×1264 piksel serta kadar segar semula (refresh rate) 120Hz bagi memastikan kelancaran paparan grafik.

Skrin peranti ini juga mampu mencapai tahap kecerahan puncak (peak brightness) yang sangat tinggi sehingga 8,000 nits. Fungsinya sudah pasti untuk memastikan paparan sentiasa jelas dan mudah dibaca walaupun di bawah cahaya matahari terik.

Di samping itu, peranti ini dilindungi dengan ketahanan lasak kalis air dan habuk bertahap tinggi melalui penarafan IP68, IP69, serta IP69K.

Siri HONOR 600 diposisikan sebagai barisan andalan baharu, yang menampilkan rekaan serba baharu dan peningkatan dari segi prestasi serta kamera.

Kamera dan Pemprosesan bertaraf Mercu

Kedua-dua varian dilengkapi kamera utama 200MP dengan penderia bersaiz 1/1.4 inci. Model Pro mempunyai kelebihan lensa telefoto 50MP yang menyokong zum digital dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) sehingga tahap 120x. Manakala model asas terhad kepada dwi-kamera belakang dengan had zum 30x. Kamera hadapan untuk swafoto bagi kedua-dua peranti menggunakan penderia resolusi 50MP.

Untuk HONOR 600 Pro, ia dikuasakan oleh cip pemprosesan mercu dari Qualcomm yang terkini, iaitu cip Snapdragon 8 Elite.

Model Pro juga dimuatkan dengan teknologi sel bateri karbon-silikon berkapasiti 7,000mAh. Bateri bersaiz gergasi ini menyokong pengecasan pantas berwayar 80W berserta teknologi pengecasan tanpa wayar 50W.

Siri ini beroperasi menggunakan antara muka MagicOS 10 yang dibina berasaskan Android 16. Ia padat dengan ciri AI termaju seperti integrasi Google Gemini, perkongsian HONOR Share, aplikasi produktiviti seperti Ringkasan AI (AI Summary), serta teknologi keselamatan tinggi Pengesanan Klon Suara dan Deepfake AI.

Anda yang berminat sudah boleh mula membuat pratempahan untuk siri telefon pintar ini sehingga penghujung bulan ini. Jualan terbuka secara umum akan bermula secara rasmi sejurus selepas fasa pratempahan ditamatkan.

Kehadiran peranti ini di pasaran dijangka bakal memberikan saingan yang sengit untuk peranti kelas premium yang mengutamakan kelengkapan fotografi komprehensif.

Tinggalkan komentar