Desas-desus pembukaan kedai rasmi Apple di Malaysia telah pun kedengaran sejak dari 2016 lagi. Khabar angin tersebut kian dikuatkan lagi kesahihannya dengan imej pertama kedai berkenaan telah dikongsikan di dalam laman forum Skyscraper City.
Mark Gurman dari Bloomberg juga melaporkan terdapat kemungkinan kedai rasmi tersebut akan dibuka dalam tahun 2024. Kini, pihak Apple sendiri telah mengeluarkan tarikh sebenar pembukaan kedai rasmi pertamanya di Malaysia.
Apple turut menyediakan laman web rasmi bersempena dengannya dan mengajak orang ramai mengunjunginya apabila ia dibuka kelak. Di halaman tersebut juga dinyatakan pembukaan rasmi akan dibuat pada 22 Jun 2024, jam 10.00 pagi bertempat di:
L1.40 The Exchange TRX
Persiaran TRX, Tun Razak Exchange
55188 Kuala Lumpur
Jika anda peminat tegar Apple dan berhasrat meraikan pembukaan kedai rasmi Apple di The Exchange TRX, laman web berkenaan juga menyediakan imej hiasan latar yang boleh anda muat turun untuk disematkan pada peranti-peranti Apple anda.
Tidak banyak maklumat lain yang dikongsikan di laman web tersebut dan setakat ini ia menampilkan logo Apple dengan perkataan “JOM” yang direkabentuk bermotifkan gelombang seakan-akan rekabentuk bumbung kedai rasmi Apple di Malaysia.
Anda yang berminat untuk hadir ke kedai rasmi Apple Malaysia boleh juga menggunakan perkhidmatan MRT dengan turun di stesen MRT TRX Samsung Galaxy.