Apple baru-baru ini telah mengumumkan akan mengadakan acara pelancaran secara maya pada bulan hadapan. Berdasarkan iklan acah yang dikongsikan, acara berkenaan dijangka akan memfokuskan pada produk tablet keluarannya seperti siri iPad Air dan iPad Pro baharu.
Menurut Mark Gurman dari Bloomberg, Apple akan memperkenalkan iPad Pro yang dikuasakan oleh pemprosesan Apple M3 dengan paparan OLED baharu. Manakala iPad Air pula akan dilengkapkan oleh pemprosesan Apple M2 dengan paparan berteknologi mini-LED. Terdapat juga ura-ura yang mengatakan iPad Air baharu berkenaan akan turut diperkenalkan dengan varian 12.9-inci yang lebih besar.
Pencil us in for May 7! ✏️ #AppleEvent pic.twitter.com/1tvyB7h450
— Tim Cook (@tim_cook) April 23, 2024
Selain daripada dua iPad baharu tersebut, terdapat laporan yang mengatakan Magic Keyboard untuk iPad Pro akan diperkenalkan bersama-sama Apple Pencil generasi berikutnya. Magic Keyboard berkenaan dikatakan diperbuat daripada aluminium dengan pad penjejak yang lebih besar disamping mengekalkan port USB-C untuk pengecasan. Manakala Apple Pencil pula digembar-gemburkan dengan mata bermagnetik yang boleh ditukar-tukar, sokongan Vision Pro dan kawalan gestur memicit.
Acara Apple yang juga dikenali sebagai “Let Loose” akan dijadualkan berlangsung pada 7 Mei 2024, jam 10 malam waktu tempatan. Ia akan distrimkan menerusi laman web Apple, aplikasi Apple TV dan juga laman YouTube rasminya.